Anwar perjelas perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia hari ini


Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini akan menjelaskan mengenai perjanjian persempadanan maritim yang ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia baru-baru ini di Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 Jun 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim akan menjelaskan mengenai perjanjian persempadanan maritim yang ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia baru-baru ini, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) persidangan Dewan Rakyat hari ini. 

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat yang disiarkan laman rasmi Parlimen, Anwar menjelaskan isu itu bagi menjawab soalan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bahru) mengenai jaminan kerajaan bahawa perjanjian berkenaan tidak akan menjejaskan hak kedaulatan dan merugikan negara khususnya kesan negatif terhadap aktiviti ekonomi maritim dalam jangka masa panjang.

Perdana menteri turut dijadual menjawab soalan Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) yang ingin tahu pembaharuan dibuat kerajaan dalam pendekatan dan tatakelola undang-undang atau peraturan untuk mengekang ketirisan serta kebocoran wang awam.

Noraini juga meminta perdana menteri menyatakan sama ada kerajaan akan meneruskan pelaporan perbelanjaan dan pemantauan Belanjawan Negara.

Pada sesi sama, Anwar yang juga menteri kewangan akan menjelaskan pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) diwujudkan oleh Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) yang dijangka menjana RM12.1 bilion kepada pendapatan negara menjelang 2030. – Bernama, 13 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen