Mangsa serangan tembakan di sekolah AS, meninggal dunia


Insiden serangan tembakan di Sekolah Menengah Great Mills berlaku kira-kira lima minggu selepas kejadian tembakan di sekolah menengah Florida yang menyebabkan 14 pelajar dan tiga dewasa mati dan mencetuskan kempen menggesa undang-undang lebih keras mengenai pemilikan senjata. – Gambar fail EPA, 24 Mac, 2018.

SEORANG remaja perempuan yang mengalami mati otak meninggal dunia selepas cedera dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di Maryland selepas mesin sokongan hayat dihentikan, kata pegawai tempatan pada Jumaat.

Remaja berusia 16 tahun, Jaelynn Willey, ditembak di kepala oleh penyerangnya yang juga turut menjalin hubungan dengannya.

Seorang lagi pelajar cedera dalam serangan pada Selasa itu, dan penyerang - juga pelajar - ditembak dan dibunuh oleh pegawai polis yang ditempatkan di sekolah menengah di selatan Maryland.

Menulis bagi pihak keluarga Willey, Pejabat Sheriff County St. Mary mengeluarkan kenyataan “dengan hati yang berat dan penuh kesedihan,” memaklumkan Jaelynn Willey meninggal dunia pada pukul 11.34 malam Khamis (0334 GMT Jumaat) “dikelilingi oleh keluarganya.”

Ibu bapanya memberitahu sidang akhbar pada Khamis lalu anak perempuan mereka mati otak dan akan ditanggalkan mesin sokongan hayatnya.

“Anak perempuan saya dicederakan oleh seorang remaja lelaki yang menembaknya di kepala dan merampas segala-galanya daripada kami,” kata ibunya, Melissa Willey, menurut The Washington Post.

Insiden serangan tembakan di Sekolah Menengah Great Mills berlaku kira-kira lima minggu selepas kejadian tembakan di sekolah menengah Florida yang menyebabkan 14 pelajar dan tiga dewasa mati dan mencetuskan kempen menggesa undang-undang lebih keras mengenai pemilikan senjata.

Kejadian tembakan, di sebuah sekolah yang terletak hanya 90 minit dari ibu negara AS, berlaku hanya beberapa hari sebelum perhimpunan pada Sabtu di pusat bandar Washington yang menyokong kawalan senjata. – AFP, 24 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen