Cina Malaysia tak mampu ubah kerajaan, kata bekas presiden MCA


Tan Yih Pey

Bekas presiden MCA Dr Chua Soi Lek ketika sesi temu ramah dengan The Malaysian Insight baru-baru ini. Beliau berkata, masyarakat Cina di Malaysia tidak mampu menggugat kerajaan kerana negara ini masih kuat dengan pentadbiran yang pro-Melayu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 24 Mac, 2018.

POPULASI masyarakat Cina Malaysia sebanyak 23% patut sedar yang mereka tak mampu ubah kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Bekas presiden MCA Dr Chua Soi Lek berkata, ini kerana Malaysia masih berada di bawah slogan “Utamakan Melayu,” dan perubahan secara mutlak hanya bergantung kepada bangsa majoriti iaitu Melayu.

Tambahnya, inilah corak politik seperti Umno dan Bersatu sedia maklum.

“Walaupun ada ’tsunami Cina’ dalam pilihan raya lepas, tapi kerajaan tak boleh diubah hanya kerana pengundi Cina,” katanya kepada The Malaysian Insight, merujuk PRU13.

Pada PRU lalu, sokongan Cina terhadap Barisan Nasional turun mendadak selepas gabungan pemerintah itu kalah dengan majoriti besar di Parlimen dalam PRU12.

MCA merupakan parti etnik Cina utama dalam Barisan Nasional (BN) yang kalah teruk dalam PRU13.

Parti itu menang hanya tujuh daripada 37 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, manakala menang 11 daripada 90 kerusi DUN sahaja.

Sebagai perbandingan, DAP menang 38 daripada 51 kerusi Parlimen yang dipertandingkan dan merampas 95 kerusi daripada 103 kerusi DUN.

Dikatakan MCA mempunyai lebih kurang 1.09 juta ahli dan merupakan parti komponen BN kedua terbesar selepas Umno. 

Bagaimanapun, hanya 661,469 pengundi Cina (18.4%) mengundi BN dalam PRU13 sementara 2.92 juta (81.5%) mengundi pakatan pembangkang ketika itu yakni Pakatan Rakyat.

Dr Chua, yang menjawat tugas Presiden MCA sepanjang PRU13 pernah berkata yang Cina patut “mengundi dengan bijak” memandangkan status minoriti mereka.

Katanya, jika setiap pengundi Cina mengokong pembangkang, masyarakat Cina tidak akan ada perwakilan dalam kerajaan. Masyarakat Cina merangkumi 29.68% populasi pengundi.

“Bagaimana kita boleh ubah kerajaan hanya dengan (mengharapkan) pengundi Cina? Kita cuma ada 23% populasi, boleh kah? 

“Ramai Melayu generasi tua yang pertengahan usia melihat Umno sebagai parti yang mempertahankan status (bangsa Melayu) dan agama (Islam). Ini bukti yang tak boleh disangkal lagi,” katanya.

Veteran MCA itu berkata pemimpin Melayu faham tentang perkara ini dan sebab itulah mereka memfokuskan kepada masyarakat Melayu dalam kenyataan dan dasar-dasar mereka.

“Semua Melayu nak menikmati hak istimewa Melayu. Parti bukan Bumiputera asyik bergaduh tapi masih dalam tempurung sama. 

“Tidak kisah bagaimana awak melawan, kita masih kena terima realiti politik bahawa negara ini dikawal oleh Melayu,” kata Dr Chua yang juga bekas menteri kesihatan.

MCA menerima natijahnya akibat pandangan bahawa parti itu merupakan proksi Umno selain tidak efektif membangkitkan permasalahan masyarakat Cina berhubung ekonomi, rasuah dan tadbir urus.

Dr Chua berkata, gabungan pembangkang tidak ada harapan untuk menarik pengundi Melayu menentang BN dalam PRU14. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Mac, 2018.

Namun Dr Chua turut berkata yang DAP gagal menjadi pengimbang terhadap Umno. 

Antara sekutu pembangkang dalam Pakatan Harapan, DAP tidak boleh mengepalai PH, malah terpaksa menyerahkan kuasanya kepada parti lain dalam gabungan pembangkang itu, katanya.

Walaupun parti Melayu seperti Bersatu dan PKR mempunyai kerusi yang kurang berbanding DAP di Parlimen, namun kedua-dua parti itu memainkan peranan besar dalam gabungan pembangkang, ujar Dr Chua.

Beliau turut mengkritik DAP kerana “kurang berprinsip” kerana menyokong Dr Mahathir Mohamad sedangkan suatu masa dahulu DAP merupakan pengkritik paling lantang pemerintahan beliau yang kini merupakan pengerusi PH dan juga calon perdana menteri interim.

“Dahulu, DAP lantang mengkritik kuasa Umno dan menyeru pengundi (untuk menyokong mereka melawan Umno). Sekarang ini macam mana pula? Mereka kini satu kapal dengan Dr Mahathir dan Muhyiddin (Yassin). 

“Jangan lupa, mereka ini bekas Umno.”

Dr Chua yang pernah berada dalam arena politik sepanjang pentadbiran Dr Mahathir mengingatkan yang Bersatu adalah parti Melayu yang berjuang untuk hak Melayu.

Tambahnya lagi, Dr Mahathir “dah lapuk” sementara PH sendiri penuh dengan masalah dalaman yang belum diselesaikan lagi.

Justeru, Dr Chua berkata, gabungan pembangkang tidak ada harapan untuk menarik pengundi Melayu menentang BN dalam PRU14. – 24 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Perubahan bermaksud mengadakan suatu pentadbiran yang lebih adil, cergas dan berjasa untuk rakyat berbandingkan dengan keadaan sekarang. Bukan sematamata buat bertentangan diantara kaum kaum.. Cuma MCA dan UMNO yg selalu pembangunan isu isu rasis untuk meraih undi undi.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan

  • Walaupun pengundi cina hanya 23% sahaja tapi dengan gabungan yang kecil itulah akan bertambah menjadi semakin besar dan membawa kemenangan kepada BN. MCA juga perlu akur dengan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang memang sudah termaktub hak-hak keistimewaan Melayu dan pemimpin negara dari bangsa Melayu dan beragama Islam.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan