Saya ambil gaji apabila ekonomi pulih, kata Anwar


PM Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Amanat Khas Perdana Menteri kepada penjawat awam negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Shah Alam, hari ini. – Gambar Facebook, 12 Jun, 2023.

ANWAR Ibrahim mempertahankan pendiriannya untuk tidak menerima gaji sebagai perdana menteri selagi ekonomi negara belum pulih.

“Bila ekonomi kita pulih cepat, saya pun dapat ambil gaji saya balik, sebab enam bulan tak ambil gaji lagi, cumanya selagi ekonomi belum pulih saya tak akan ambil gaji saya,” katanya ketika berucap kepada penjawat awam Selangor di Shah Alam hari ini.

Kabinet pimpinan Anwar juga menerima pemotongan gaji 20% yang terikat dengan pemulihan ekonomi.

Kerajaan berkata ia menjimatkan RM100,000 sebulan daripada pemotongan gaji Kabinet.

Dalam ucapannya petang ini, ahli Parlimen Tambun itu berkata usaha pemulihan ekonominya tidak seagresif langkah yang diambil oleh Indonesia.

“Kita kena tingkatkan prestasi kita dengan cepat. Ekonomi Indonesia dulu lembab jika nak dibandingkan dengan ekonomi Malaysia.

“Tapi sekarang Indonesia lebih tegas dengan batalkan subsidi elektrik. Beza dengan saya yang hanya batalkan subsidi kepada golongan orang kaya tapi tidak Indonesia. Ia (Indonesia) batalkan untuk semua,” kata Anwar.

Tindakan drastik Indonesia, kata Anwar, membolehkan republik itu mengurangkan perbelanjaannya dengan pantas dan menggalakkan pelabur masuk ke negara itu.

Bagaimanapun, Anwar berkata beliau tidak akan mengambil langkah drastik seperti itu kerana tidak mahu membebankan rakyat. – 12 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen