Bina rumah penjawat awam baharu, baiki kerosakan tahun depan, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata masalah pembinaan rumah penjawat awam akan menjadi fokus kerajaan selepas menyelesaikan isu tandas rosak serta kekurangan kemudahan asas di sekolah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Jun, 2023.

KERAJAAN akan memberi tumpuan kepada pembinaan rumah penjawat awam baharu serta membaiki kerosakan kediaman sedia ada bermula tahun hadapan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata masalah berkenaan akan menjadi fokus kerajaan selepas menyelesaikan isu tandas rosak serta kekurangan kemudahan asas di sekolah.

“Saya pergi ke Langkawi pun, rumah-rumah tentera teruk benar. Saya pergi ke Penjara Sungai Buloh, kawan-kawan saya tolong jaga saya (ketika dalam penjara) duduk rumah pun (rosak). 

“Jadi sebab itu untuk tahun depan, kalau kita selesaikan masalah tandas (rosak) dan (kekurangan) kemudahan asas di sekolah, saya akan tumpu kepada rumah penjawat supaya elok. Ini termasuk rumah-rumah baharu,” kata beliau.

Anwar berucap di hadapan kira-kira 1,500 penjawat awam pada Majlis Amanat Khas Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Dr Zulkapli Mohamed dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari. – Bernama, 12 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen