Trump sokong Qatar diasingkan, walaupun tentera AS guna pangkalan udara sana


Empat negara Teluk memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar, tindakan yang dilihat pemerhati memberi kesan kepada kestabilan rantau itu. – Gambar AFP, 6 Jun, 2017.

PRESIDEN Amerika Syarikat Donald Trump mengaitkan tindakan negara Arab memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar kepada lawatannya ke rantau Timur Tengah, dan tidak bersimpati kepada rayuan Qatar yang selama ini menjadi pusat operasi ketenteraan AS rantau itu.

“Sewaktu lawatan saya ke Timur Tengah saya kata tidak boleh ada lagi (pihak) yang membiayai Ideologi Radikal. Pemimpin di sana tunjuk ke arah Qatar- sana!” tulis Trump dalam Twitternya.

Arab Saudi dan beberapa rakan sekutunya, termasuk Mesir, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain memutuskan hubungan diplomatik dan perhubungan pengangkutan dengan Qatar Isnin lalu, menuduh negera Teluk itu menyokong puak pelampau.

Tindakan itu berlaku kurang sebulan selepas Trump melawat Arab Saudi dan mendesak supaya orang Islam bersatu menentang pelampau.

Tentera udara AS menggunakan pangkalan udara di Qatar sebagai pangkalan penting dalam operasi ketenteraan di rantau itu, yang kini menumpukan usaha memerangi kumpulan Negara Islam (IS).

Setiausaha Negara AS Rex Tillerson mendesak negara Teluk supaya bersatu dan mengenetepikan perbezaan mereka.

Hubungan negara kaya minyak, Qatar dan negara jirannya sudah lama tegang tetapi tindakan terbaru Riyadh dan sekutunya mengejutkan pemerhati yang bimbang ia akan mewujudkan ketidakstabilan dalam rantau yang sudah sedia bergolak itu.  

Negara Teluk yang terlibat dalam pemutusan diplomatik itu dan Mesir menyekat semua penerbangan dari dan ke Qatar serta mengarahkan semua rakyat Qatar untuk meninggalkan negara itu dalam tempoh 14 hari. – AFP, 6 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen