Anwar jawab isu perjanjian sempadan maritim di Parlimen esok


PM Anwar Ibrahim didakwa menandatangani perjanjian persempadanan maritim ketika lawatan kerja Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia baru-baru ini walaupun pakar menasihatkan supaya tidak berbuat demikian. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 12 Jun 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau akan menjawab persoalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin berhubung perjanjian persempadanan maritim yang dimeterai dengan Indonesia baru-baru ini, di Parlimen esok.

Anwar berkata persoalan Muhyiddin itu akan dijawab dalam Sesi Soal Jawab Perdana Menteri.

“Saya akan jawab di Parlimen dan biar dia (Muhyiddin) ada di situ untuk hujah. Saya harap dia hadir,” kata beliau dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), di Putrajaya, hari ini.

Muhyiddin mendakwa perdana menteri menandatangani perjanjian itu ketika lawatan kerja Presiden Indonesia Joko Widodo ke Malaysia baru-baru ini walaupun pakar maritim menasihatkan supaya tidak berbuat demikian.

Sehubungan itu, Muhyiddin dilaporkan menggesa perdana menteri untuk memberi penjelasan berhubung perjanjian persempadanan maritim itu.

Mengenai pengagihan kerusi menjelang Pilihan Raya Kecil (PRN) di enam negeri, Anwar berkata perbincangan mengenai pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sudah di peringkat akhir.

Enam negeri yang terlibat dalam PRN ialah Kelantan, Terengganu, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. – Bernama, 12 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen