PERBICARAAN pertama tuntutan mahkamah yang difailkan oleh pekerja penjagaan kesihatan di Jerman terhadap BioNTech atas dakwaan kesan sampingan vaksin Covid-19 keluaran syarikat itu akan didengar hari ini.
Tuntutan itu difailkan firma guaman Rogert & Ulbrich bagi pihak seorang pekerja penjagaan kesihatan.
Pekerja itu menuntut €150,000 (RM740,600) sebagai pampasan atas kecederaan tubuh badan yang didakwa disebabkan oleh vaksin itu, lapor Agensi Anadolu.
Wanita pertengahan umur itu mendakwa mengalami sakit di bahagian atas badan, bengkak pada lengan dan kaki, keletihan dan gangguan tidur.
Plaintif juga meminta pampasan untuk kerosakan material yang tidak dinyatakan.
Rogert & Ulbrich berkata firma itu memfailkan kira-kira 250 tindakan undang-undang bagi pihak pelanggannya yang menuntut pampasan ke atas kesan sampingan yang didakwa akibat vaksin itu.
Syarikat bioteknologi itu turut berhadapan saman yang sama daripada Casar-Preller dan Caesar-Preller yang berpangkalan di Mainz, yang mengumumkan ia memfailkan 100 saman.
Kira-kira tiga perempat daripada 224 juta dos vaksin yang ditadbir di Jerman dihasilkan oleh BioNTech, dan sebahagian besar tuntutan pampasan difailkan terhadap BioNTech, yang mempelopori penggunaan teknologi mRNA dalam vaksin.
Kes di Jerman mewakili tuntutan pampasan terbesar yang dihadapi BioNTech di seluruh dunia sejak wabak Covid-19.
Tuntutan undang-undang serupa difailkan di Itali atas dakwaan kesan sampingan vaksin Covid-19.
BioNTech dalam satu kenyataan menyatakan selepas pemeriksaan rapi, pihaknya yakin kes yang dipersoalkan itu “tidak berasas” dan akan ditolak.
Kenyataan itu menyatakan kira-kira 1.5 bilion di seluruh dunia, termasuk sekurang-kurangnya 64 juta di Jerman, diberikan vaksin itu.
Sehingga kini, kesan sampingan yang berpotensi selain daripada yang disenaraikan dalam maklumat produk yang berkaitan, masih belum dikesan. – Bernama, 12 Jun, 2023.
Komen