Batalkan EIA jalan di rizab harimau, gesa kumpulan alam sekitar


KUMPULAN alam sekitar, RimbaWatch menggesa Jabatan Alam Sekitar membatalkan kelulusan penilaian kesan alam sekitar (EIA) bagi jalan yang melalui Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah di Pahang.

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah adalah kawasan perlindungan yang sangat sensitif dan projek itu akan mendedahkan spesies terancam kepada konflik hidupan liar manusia dan pemburuan haram.

“RimbaWatch terkejut kerana Jabatan Alam Sekitar telah memilih untuk meluluskan EIA bagi jalan yang melalui Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah dan menuntut kelulusan ini dibatalkan berkuat kuasa serta-merta.

“Baru-baru ini, RimbaWatch telah melihat peta jajaran jalan yang dicadangkan yang tepat, bersama peta Rizab Harimau dan mendapati jalan itu akan melalui hutan Pahang Timur berhampiran sempadan Terengganu, dan memisahkan hutan Taman Negara di utara ke hutan Ulu Tembeling di selatan, yang merupakan salah satu kawasan hutan terbesar di Malaysia.”

“Kami dapat mengesahkan majoriti cadangan jajaran 52km jalan itu akan melalui terus melalui Rizab Harimau. Jalan itu akan melibatkan penebangan hutan di Hutan Simpan Gunung Aais (yang merupakan komponen Rizab Harimau), dan yang telah menjadi “hutan perlindungan” untuk beberapa lama,” kata kumpulan itu hari ini.

RimbaWatch menegaskan kawasan itu dipercayai hutan dara dan tidak pernah dilakukan aktiviti pembalakan sebelum ini.

Ia menambah bahawa konflik manusia-harimau telah pun menjadi kenyataan daripada perluasan jalan raya ke kawasan itu.

“Tahun lepas, seekor harimau telah dikesan di jalan yang baru dibina berhampiran Kg. Mat Daling.”

RimbaWatch berkata bagi melindungi baki 100 harimau di Malaysia, integriti ekologi taman ini menjadi kunci utama.

Menurut RimbaWatch, JAS mesti segera membatalkan EIA untuk projek itu dan mendedahkan kandungan EIA dan dokumen berkaitan kepada orang ramai.

“Kami juga menggesa JAS untuk komited untuk tidak meluluskan EIA yang melibatkan penebangan hutan atau penerokaan kawasan perlindungan pada masa hadapan,” kata kumpulan itu. – 12 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen