10 maut, 25 cedera dalam nahas bas di Australia


SERAMAI 10 maut manakala 25 yang lain dibawa ke hospital selepas sebuah bas yang membawa rombongan perkahwinan terbabit dalam nahas jalan raya di wilayah Hunter di Australia semalam, menurut kenyataan Polis New South Wales (NSW).

Nahas berlaku di Wine Country Drive berhampiran Lebuhraya Hunter dan anggota kecemasan menerima panggilan kira-kira 11.30 malam.

Pada sidang akhbar pemangku Polis NSW Asisten Komisioner Tracy Chapman berkata 10 disahkan meninggal dunia, dengan 25 lagi mangsa yang cedera dibawa ke hospital.

Chapman berkata kemungkinan ada mangsa yang terperangkap dalam bas yang terbalik itu dan jumlah korban serta kecederaan mungkin bertambah.

“Pemandu bas berkenaan berusia 58 tahun dibawa ke hospital untuk jalani ujian. Dan dia kini berada di Balai Polis Cessnock dan kini ditahan,” kata Chapman.

Beliau berkata setakat ini hasil siasatan mendapati nahas itu hanya membabitkan satu kenderaan namun, siasatan lanjut akan dijalankan.

Polis sedang berusaha mengenal pasti mangsa dan menghubungi waris.

Sementara itu, Perdana Menteri Anthony Albanese di media sosialnya berkata: “Semua rakyat Australia dikejutkan dengan berita tragis yang berlaku di Hunter itu, kami bersimpati kepada mereka yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi bas yang ngeri ini.”

Perdana Menteri NSW Chris Minns menerusi Twitter berkata: “Kehilangan nyawa yang menyayat hati. Ia berlaku pada hari yang sepatutnya dipenuhi dengan rasa cinta dan kebahagiaan.” – Bernama, 12 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen