RIBUAN tikus masuk ke sebuah perkampungan di pulau di Selatan Myanmar, kata seorang pegawai kerajaan hari ini, yang dianggap sesetengah pihak sebagai petanda buruk yang musibah akan berlaku.
Penduduk di pulau Haingyi, salah satu pulau terbesar di Delta Irrawaddy bertarung dengan tikus itu sejak ia mula memasuki perkampungan itu hujung minggu lepas.
Pihak berkuasa yang terdesak menawarkan penduduk bayaran sebanyak 50 kyat (RM0.16) untuk setiap ekor tikus yang berjaya dibunuh dalam cubaan untuk mengawal wabak penyakit daripada berlaku.
“Lebih daripada 4,000 tikus sudah dibunuh sejak ia cuba memasuki perkampungan,” kata perwakilan daerah Phyo Zaw Shwe kepada AFP.
“Menurut kepercayaan orang tempatan, haiwan ini boleh meramalkan cuaca buruk. Jadi orang di sini bimbang akan wujudnya banjir atau gempa bumi.”
Kajian dilakukan saintis Jepun mendapati yang tikus sensitif kepada gelombang elektromagnetik yang serupa muncul di sesuatu kawasan sebelum berlakunya gempa bumi besar- walaupun tiada aktiviti seismik dikesan berlaku di Myanmar sejak beberapa hari lepas.
Phyo Zaw Shwe berkata beberapa bangkai tikus sudah dihantar untuk ujikaji mengesan penyakit, tetapi setakat ini tidak menemui apa-apa.
Myanmar seringkali diserang tikus.
Negeri Chin, di utara negara itu dilaporkan berulang kali diserang tikus yang datang untuk makan buah bulu yang hanya muncul sekali setiap 50 tahun sekali.
Dalam kejadian terbaru pada 2008, ratusan penduduk mati selepas tikus yang datang merosakan hasil tanaman sehingga menyebabkan kekurangan bekalan makanan. – AFP, 6 Jun, 2017.
Komen