China pertingkat senjata nuklear ketika ketegangan global meningkat, kata kajian


Sebahagian besar peningkatan senjata nuklear adalah dari China, yang meningkatkan simpanannya daripada 350 kepada 410 peledak.– Gambar EPA, 12 Jun, 2023.

SENJATA nuklear beberapa negara, terutamanya China, berkembang tahun lalu dan kuasa atom lain terus dimodenkan ketika ketegangan geopolitik meningkat, kata para penyelidik pada Isnin.

“Kami menghampiri, atau mungkin sudah mencapai, penghujung tempoh panjang jumlah senjata nuklear di seluruh dunia semakin berkurangan,” kata Pengarah Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI), Dan Smith kepada AFP.

Jumlah senjata nuklear dalam kalangan sembilan negara kuasa nuklear—Britain, China, Perancis, India, Israel, Korea Utara, Pakistan, Rusia dan Amerika Syarikat—turun kepada 12,512 pada awal tahun 2023, daripada 12,710 pada awal tahun 2022, menurut SIPRI.

Daripada jumlah itu, 9,576 berada dalam “stok ketenteraan yang berpotensi digunakan”, 86 lebih banyak berbanding tahun sebelumnya.

SIPRI membezakan antara stok negara yang sedia untuk digunakan dan jumlah inventori mereka—termasuk yang lebih lama yang dijadualkan untuk dilupus.

“Stok simpanan adalah kepala peledak nuklear yang boleh digunakan, dan jumlah itu mula meningkat,” kata Smith, sambil menyatakan jumlah masih jauh daripada lebih 70,000 yang direkodkan pada 1980-an.

Sebahagian besar peningkatan adalah dari China, yang meningkatkan simpanannya daripada 350 kepada 410 peledak.

Rusia dan Amerika Syarikat bersama-sama masih mempunyai hampir 90% daripada semua senjata nuklear. – AFP, 12 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen