Sewa rumah RM5,000 di ceruk Johor? Hanya di Pengerang


Mohd Farhan Darwis

Projek perumahan baru sedang dibina di Pengerang, Johor dengan pembangunan pesat kawasan itu ekoran Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid). – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 Mac, 2018.

RM5,000 sebulan adalah harga yang perlu dibayar sekiranya ingin menyewa sebuah rumah teres satu tingkat tiga bilik di Bandar Penawar, Kota Tinggi.

Harga itu mungkin tidak masuk akal dan keterlaluan, namun itu adalah kadar biasa yang dikenakan pemilik kediaman untuk menempatkan pekerja dalam syarikat berkaitan Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid).

Bagi golongan yang merasakan jumlah itu terlalu besar, pilihan sentiasa ada. Bilik yang dibina menggunakan papan lapis yang dilengkapi kemudahan tandas dan katil boleh disewa dengan kadar RM800 sebulan.

Seorang pekerja, Mohamad Noor Ezriq Tee, 28 berkata beliau kini terpaksa menyewa bilik dari sebuah kontena yang diubahsuai dari kontena dengan harga RM300 sebulan.

Bilik kontena yang terletak di Felda Sening itu dijumpainya ketika berpindah tempat kerja dari Kluang ke Kampung Sungai Rengit pada 2017.

“Kontena ada empat. Setiap kontena dipisahkan menjadi dua bilik, setiap bilik diisi empat penyewa. Bilik air ada tiga di luar. Setiap pagi kami beratur macam dalam cerita P Ramlee untuk gunakan bilik air,” katanya.

Menurutnya berkata warga asing yang bertugas sebagai pekerja am di Rapid boleh menerima gaji sebanyak RM3,000 sebulan.

Kalangan pekerja mahir tempatan yang bekerja sebagai pegawai keselamatan pekerjaan atau juruteknik pula boleh meraih pendapatan sehingga RM5,000 hingga RM6,000 sebulan, kata Ezriq.

Warga asing dari Bangladesh, Myanmar, Nepal, Indonesia dan China tmemenuhi kawasan seperti Kampung Sungai Rengit.

Mohamad Noor Ezriq Tee mengakui ramai penduduk tempatan yang mendapat manfaat daripada projek Rapid di Pengerang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 Mac, 2018.

Anak jati Johor itu berkata, bagi rakan-rakannya yang memiliki rumah di kawasan sekitar pembangunan Rapid, mereka sanggup meninggalkan rumah dan menyewa di tempat lain untuk memperoleh pendapatan sampingan.

“Ada pekerja pembersihan di pejabat saya sewakan rumahnya di Bandar Penawar RM4,000 sebulan kepada syarikat dan dia menyewa bilik yang lebih kecil di tempat lain RM800 sebulan. Setiap bulan dia untung RM3,200,” katanya.

Seorang pemandu bas untuk pekerja Rapid, Abdullah Mohammad, 60, berkata, beliau dapat menambah pendapatannya dengan menyewakan sebuah bilik pada kadar RM800 sebulan.

“Itulah harganya sekarang, memang ada keuntungan untuk orang kampung. Kita tak nafikan, dulu kita bantah sebab pembahagian pampasan tanah tidak adil, tapi kita hanya ibarat anjing menyalak bukit waktu itu.

“Kita orang kampung ini ibarat mentimun, durian golek kiri kanan kita ikut sahajalah,” katanya yang turut menerima pampasan apabila tanah pusaka milik keluarganya di Kampung Sungai Kapal diambil alih untuk membangunkan Rapid.

Limpahan pembangunan dari projek hab minyak dan gas serantau di tenggara Johor kini mula memberikan kesan kepada penduduk tempatan apabila mereka turut mengambil kesempatan dengan pembangunan itu.

Segelintir penduduk yang menjalankan perniagaan industri hiliran turut menerima tempias projek berkenaan apabila mereka berjaya menjadi pembekal air bersih, makanan dan minuman, dan  pengangkutan bagi pekerja warga asing yang pekerja di Rapid. 

Kalau tiada Rapid, hotel mati

Turut mendapat keuntungan daripada pembangunan Rapid adalah sektor perhotelan dan hospitaliti di sepanjang pantai Desaru. 

Dianggarkan lima lagi hotel bertaraf antara lima hingga tujuh bintang termasuk satu daripadanya milik Khazanah Nasional akan dibina di Desaru bagi menampung keperluan penyewa, terutamanya membabitkan pekerja profesional di Rapid.

Syarikat utama akan menyewa secara pukal bilik-bilik hotel untuk jangka masa yang lama bagi menempatkan kakitangan mereka sekaligus menyaksikan kadar sewaan bilik yang tinggi.

“Tempahan bilik sangat tinggi sehinggakan saya, walaupun sebagai pemilik resort terpaksa berkongsi bilik dengan adik saya dan tidur di ruang tamu,” kata R Ramalingam Pillai, 55.

Pengarah Urusan Kumpulan Lotus Desaru Hotel and Resort itu berkata, kadar bilik yang terjual di resort dengan 1,350 bilik miliknya itu mampu mencecah sehingga 90 peratus sehari.

Selain menyediakan perkhidmatan penginapan, resort miliknya itu turut menyediakan perkhidmatan bekal makanan buat pekerja Rapid yang menginap di resort berkenaan.

“Kalau tidak ada Rapid saya mati,” kata Ramalingam, dan menambah, beliau membuat keputusan tepat mengambil alih resort tersebut pada 2009.

Menurutnya, Desaru sebelum ini bukanlah destinasi utama tumpuan pelancong di Johor memandangkan jaraknya yang jauh dan menyukarkan pengunjung memaksa mereka memilih Muar dan Melaka sekiranya ingin menikmati pemandangan pantai.

Kelihatan beberapa pekerja Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) beratur mengeluarkan wang di bandar Pengerang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 24 Mac, 2018.

Namun begitu, seiring dengan pembangunan Rapid, infrastruktur asas seperti jalan utama yang dahulunya hanya dua lorong kini dinaik taraf kepada empat lorong sekaligus memendekkan masa perjalanan daripada 1 jam 45 daripada Johor Baru ke Desaru menjadi 40 minit.

“Pada 2009, saya ingat lagi bilik yang terjual hanyalah kira-kira 25%, namun sekarang secara berkala ia meningkat sehingga 90% sehari,” kata Ramalingam, dan menambah, resortnya kini turut menerima tempahan daripada pengunjung Eropah dan China.

“Mereka sudah mula kenal Desaru dan Pengerang. Selain hotel, industri inap desa di kawasan Felda di kawasan Pengerang ini juga menerima limpahan hasil daripada pembangunan Rapid,” katanya lagi. – 24 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Dengan adanya Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) ni menjadi durian runtuh kepada penduduk di Pengerang dan berdekatan dengan Kota Tinggi. Tambahan lagi dengan adanya limpahan perniagaan yang dihasilkan Rapid memberi pendapatan tambahan kepada penduduk luar bandar itu dan mewujudkan perasaan positif terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN). Satu usaha baik dari BN.

    Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan