Kerajaan mahu peranan Jakim diperluas, kata PM


Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Jakim kurang berperanan dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan Madani. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 11 Jun, 2023.

KERAJAAN Persekutuan mahu memperluaskan peranan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam usaha mengangkat martabat dan darjat negara, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata pihaknya sudah bertemu dengan kepimpinan Jakim baru-baru ini dan mahu mereka untuk membantu melakar rangka dasar pembangunan negara berteraskan Malaysia Madani.

“Sebelum ini, kerja Jakim adalah berdakwah, memberi latihan dan menganjurkan majlis tilawah dan hafazan al-Quran bersama kerajaan negeri tapi Jakim kurang berperanan dalam merangka Rancangan Malaysia Ke-12 dan Belanjawan Madani.

“Saya mengarahkan supaya peranan mufti, ulama ataupun tokoh di Jakim supaya selari dengan perkembangan ini supaya input mereka itu dapat memberi manfaat dan mengangkat martabat dan darjat negara,” katanya dalam ucapan pada majlis perasmian tilawah dan hafazan al-Quran peringkat kebangsaan 1444H/2023 di Butterworh, Pulau Pinang malam ini.

Pulau Pinang menjadi tuan rumah majlis tilawah dan hafazan al-Quran peringkat kebangsaan tahun ini, yang dijadualkan berlangsung selama enam hari mulai hari ini sehingga 16 Jun di Pusat Konvensyen PICCA @Arena Butterworth.

Selain itu, Anwar turut mengajak umat Islam untuk memanfaatkan mukjizat al-Quran dengan membicarakan soal kemampanan dan sistem nilai yang dianjurkannya tanpa mempertahankan sesuatu yang bertentangan.

Katanya, wujud sanggahan oleh individu tertentu terhadap inisiatif kerajaan termasuk Belanjawan Madani dengan membuat rujukan kepada ayat dalam al-Quran secara tidak tepat.

Katanya tindakan memperkudakan al-Quran untuk melemparkan hujah akan merosakkan kemurnian kitab suci itu yang dipertahankan ulama selama lebih 1,000 tahun.

“Sebab itu saya membicarakan soal wacana yang ada dalam al-Quran itu dalam menjawab tohmahan dengan hujah yang kuat. Ini dilakukan dengan mencabar orang yang membawa idea menyanggah kitab suci itu untuk memastikan kita melakar ataupun menzahirkan sesuatu yang baik.

“Maka dalam negara kita, dalam hal yang sedemikian sepatutnya kita pertahankan akhlak dan nilai termasuk dalam keadaan kita berbeza pandangan,” katanya. – Bernama, 11 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen