Pemandu wanita sakit dada masuk laluan bertentangan punca kemalangan 6 kenderaan


SEORANG wanita yang mengalami sakit dada ketika memandu hilang kawalan sehingga masuk ke laluan bertentangan dan menyebabkan kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Balik Pulau, Pulau Pinang hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Kamarul Rizal Jenal berkata, kemalangan yang berlaku pada jam 9 pagi membabitkan tiga kereta dan tiga motosikal itu menyebabkan dua mangsa mengalami kecederaan parah.

“Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila pemandu wanita berusia 59 tahun yang mengalami sakit dada, dari arah pekan Balik Pulau memasuki ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah kereta dari Simpang Empat.

“Tiga motosikal tidak sempat mengelak dengan satu daripadanya (motosikal) terbabas dan melanggar kereta yang diletakkan di kawasan parkir kedai makan tomyam di situ,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kemalangan itu menyebabkan dua orang cedera parah, dua berada di zon kuning, dua di zon hijau serta seorang lagi tidak mengalami kecederaan dan mereka sedang dirawat di unit kecemasan Hospital Balik Pulau.

Kamarul Rizal berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut dan kes itu disiasat menurut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, tular video di lokasi kejadian kemalangan yang turut memaparkan seorang wanita sedang mengalami sakit dada manakala seorang mangsa lelaki dalam keadaan terbaring di dalam parit tepi jalan berkenaan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau berkata polis menahan sembilan individu yang positif dan memiliki dadah dalam Op Noda yang dijalankan di pusat hiburan di negeri itu.

“Dalam operasi bermula tengah malam semalam, kami menahan sembilan pengunjung pusat hiburan dan mereka disiasat menurut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Kamarul Rizal berkata pemeriksaan di pusat hiburan di daerah Barat Daya akan terus dijalankan dari semasa ke semasa bagi mengesan suspek jenayah dan penyalahgunaan dadah. – Bernama, 11 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen