PRN: Parti politik manfaatkan media sosial dekati orang muda


Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata media sosial kini merupakan platform terbaik untuk mendekati pengundi khususnya golongan belia. – Gambar EPA, 12 Jun, 2023.

MEDIA sosial menjadi platform parti-parti politik mendekati pengundi muda menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang akan datang ketika parti-parti berebut untuk mendekati pengundi muda.

Pemimpin parti berkata ahli mereka menggunakan pelbagai platform untuk menyampaikan mesej kepada kelompok sasaran mereka melalui Tik Tok, Instagram, Twitter dan Facebook.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata media sosial kini merupakan platform terbaik untuk mendekati pengundi khususnya golongan belia.

“Kebanyakan kandungan yang dikongsikan adalah mengenai fakta dan perkara yang disampaikan dan dijayakan oleh Perikatan Nasional (PN) sepanjang pentadbiran 2020-2022.

“Sesetengah kandungan juga mungkin menunjukkan kelemahan kerajaan semasa, salah laku dan pelaksanaan polisi yang salah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Malaysia mempunyai 1.44 juta pengundi berumur antara 18 dan 20 tahun.

Undi18 berkuat kuasa tahun lalu, menurunkan umur mengundi daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan memperkenalkan pendaftaran pemilih secara automatik.

Mac tahun lalu, PRN di Johor merupakan negeri pertama yang  mengaplikasikan Undi18.

Wan Fayhsal berkata mereka menyebarkan maklumat melalui media sosial mengenai apa yang mereka akan lakukan untuk rakyat jika menang dalam pilihan raya itu nanti.

“PN menyampaikan pemikiran, idea dan perkara yang perlu dilakukan sebaik sahaja kita mengambil alih tiga negeri daripada Pakatan Harapan dan semua negeri yang kita tadbir,” katanya.

Daripada enam negeri yang bakal menghadapi PRN, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang ditadbir PH manakala PAS/PN menguasai Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Wan Fayhsal berkata Bersatu juga sedang mendekati golongan belia melalui aktiviti, acara dan program berterusan di kawasan tertentu.

“Aktiviti adalah luas, daripada berunsurkan sukan kepada aktiviti berunsurkan sosial.

“Sebagai contoh, di Titiwangsa, Bersatu mengadakan bengkel media sosial untuk orang ramai.

“Di beberapa kawasan di Perak, pertandingan sukan seperti kejohanan futsal, kejohanan dart dan kejohanan snuker dianjurkan,” katanya.

Katanya, minggu lalu Bersatu bersama PAS menganjurkan konvoi dari Melaka ke Port Dickson.

Berkait persiapan mereka untuk menghadapi PRN, Wan Fayhsal berkata Bersatu sentiasa berada dalam mod siap sedia untuk sebarang pilihan raya.

“Persediaan berterusan dilakukan dan sedang berjalan. Dari segi menggerakkan jentera, ia sentiasa aktif sejak Oktober sebelum PRU15.

“Kami sedang merancang dan membuat persediaan dari segi logistik untuk membantu enam negeri,” katanya. – 12 Jun, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen