Pengecualian duti setem diteruskan bantu lebih ramai miliki rumah, kata menteri


Layanan duti setem itu terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dari 1 Jun 2022 hingga 31 Disember 2023. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2023.

PENERUSAN pengecualian duti setem 100 peratus bagi pembelian rumah pertama berharga tidak melebihi RM500,000 dijangka dapat membantu sasaran lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kediaman sendiri.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata cadangan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) kepada Kementerian Kewangan (MoF) untuk meneruskan inisiatif berkenaan akan membantu rakyat menjimatkan kewangan mereka untuk memiliki rumah.

“Setakat ini 76.9 peratus rakyat Malaysia telah memiliki sebuah rumah, kita sasarkan untuk 100 peratus rakyat Malaysia memiliki kediaman mereka sendiri dan inisiatif ini adalah antara cara untuk kita membantu mencapai sasaran itu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di Ipoh, hari ini.

Pada 9 Jun lepas, MoF dalam kenyataan memaklumkan pemilikan rumah pertama menerusi Inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-MILIKI) akan terus menikmati pengecualian duti setem 100 peratus bagi pembelian rumah berharga tidak melebihi RM500,000.

Menurut MoF, selain itu pengecualian duti setem 75 peratus turut diberikan bagi pembelian rumah pertama yang berharga melebihi RM500,000 hingga RM1 juta di bawah inisiatif yang sama.

Layanan duti setem itu terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dari 1 Jun 2022 hingga 31 Disember 2023.

MoF menjelaskan pengecualian duti setem itu diadakan di bawah Program Pemilikan Rumah (HOPE) iaitu pemilikan rumah pertama menerusi i-MILIKI akan diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman.

Dalam pada itu, Nga menzahirkan ucapan penghargaan kepada MoF dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang menerima cadangan KPKT meneruskan inisiatif berkenaan bagi meneruskan momentum kempen pemilikan rumah untuk rakyat di negara ini.

Beliau juga menyeru pemaju perumahan mengambil peluang itu untuk mempromosi kediaman mereka sempena inisiatif yang akan diteruskan hingga 2025. – Bernama, 11 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen