PM beri jaminan tajaan JPA diteruskan


Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika menjawab soalan dalam program 'Temu Anwar' di Pulau Pinang hari ini. – Gambar Facebook, 11 Jun, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan program tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk program perubatan, farmasi dan perubatan akan diteruskan.

Katanya, keputusan menamatkan tajaan untuk program berkenaan merupakan dasar lama bawah pentadbiran kerajaan terdahulu dan akan dikaji semula.

“Minggu lalu ada perjumpaan khas dengan JPA dan mereka katakan itu dasar sedia ada, dasar lalu. Saya minta dasar dikaji semula kerana unjuran perubatan, farmasi, pergigian masih ada.

“Maknanya program biasiswa JPA untuk ini akan diteruskan,” katanya kepada para mahasiswa dalam satu program soal jawab di kampus Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang petang ini.

Jawapan perdana menteri itu menyusuli jaminan Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa yang berkata keputusan JPA menamatkan tajaan itu sedang dirunding.

Dr Zaliha dilaporkan berkata, kementerian bersedia menyemak semula kajian pada 2019 yang menjangka jumlah pegawai perubatan akan melebihi permintaan pada 2026 dan 2030.

Katanya, perkembangan baharu seperti pandemik Covid-19 menunjukkan kajian itu perlu disemak semula.

Dr Zaliha juga berkata, kementerian itu bimbang penamatan tajaan akan menjejaskan motivasi pelajar untuk meneruskan pengajian dalam bidang perubatan.

Beliau memberi reaksi ke atas satu jawapan menteri di jabatan perdana menteri di Parlimen mengenai penamatan biasiswa bagi pelajar yang berhasrat mengikuti tiga program tersebut.

Menteri terbabit Armizan Mohd Ali dilaporkan berkata keputusan itu dibuat memandangkan terdapat bekalan kakitangan yang mencukupi dalam bidang itu.

Katanya, jumlah pegawai perubatan pada 2021 mencapai angka 72,812, melebihi permintaan 70,721 dan permintaan untuk pegawai pergigian dan farmasi akan dipenuhi pada 2025 dan 2029.

Armizan juga memberitahu Dewan Rakyat, pelajar bawah program JPA sedia ada akan ditaja sehingga 2027.

Dalam jawapan kepada soalan Wan Saifulruddin Wan Jan (PN-Tasik Gelugor), Armizan berkata, seramai 1,774 pelajar perubatan tajaan JPA dijangka menerima ijazah masing-masing tahun ini.

Seramai 69 pelajar pergigian dan 296 pelajar farmasi juga akan berbuat demikian tahun ini, katanya.

Beliau menambah, seramai 2,029 pelajar perubatan, 68 pergigian dan 184 farmasi akan menerima ijazah mereka dari 2024 hingga 2027.

Armizan berkata kajian Kementerian Kesihatan juga mendapati kesukaran untuk menyerap semua pelajar perubatan tajaan kerajaan ke dalam perkhidmatan awam.

“Melalui langkah ini, kami percaya JPA boleh menaja lebih ramai pelajar dalam bidang lain.

“Kos tajaan pelajar perubatan bersamaan kos menaja 10 pelajar dalam bidang lain,” katanya.

Keputusan JPA menghentikan tajaan biasiswa berkenaan dihentam Persatuan Perubatan Malaysia yang menyifatkan keputusan itu sebagai langkah tidak bertanggungjawab.

Presidennya Dr Muruga Raj Rajathurai menuntut JPA menjelaskan keputusan itu yang dijangka memberi kesan buruk kepada usaha negara memenuhi permintaan profesional penjagaan kesihatan. – 11 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen