Lebih 50,000 hilang tempat tinggal akibat konflik etnik di Manipur


Asap berkepul-kepul keluar dari kenderaan yang terbakar berikutan protes puak di Manipur, India. – Gambar fail AFP, 11 Jun, 2023.

LEBIH 50,000 orang hilang tempat tinggal berikutan pertempuran etnik baru-baru ini di Manipur, India yang bersempadan dengan Myanmar.

“Secara keseluruhannya 50,698 orang hilang tempat tinggal akibat keganasan etnik dan kini ditempatkan di 349 kem sementara,” menurut kenyataan menteri penerangan RK Ranjan.

Konflik antara etnik Meitei dan etnik lain termasuk Naga dan Kuki, mengorbankan lebih 70 orang bulan lalu.

Ketegangan dan keganasan berterusan di rantau itu walaupun terdapat pasukan keselamatan ditempatkan di beberapa lokasi.

Kementerian dalam negeri pada Sabtu memaklumkan “jawatankuasa keamanan” yang diketuai gabenor Manipur, Anusuiya Uikey dibentuk untuk memulihkan keamanan di negeri itu.

Ia turut dianggotai ketua menteri N Biren Singh, ahli Parlimen, birokrat dan pemimpin parti politik.

Ketegangan memuncak selepas mahkamah tinggi mengarahkan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan agar komuniti Meitei diberi status “scheduled tribe”, lalu ditentang hebat oleh etnik lain yang membentuk kira-kira 40% penduduk dan dikhuatiri menjejaskan hak mereka.

“Scheduled tribe” akan memberi faedah tambahan kepada Meitei untuk mendapat pekerjaan dalam sektor kerajaan, pendidikan dan pemilikan tanah hutan. – Bernama, 11 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen