WEE Ka Siong melepaskan jawatannya dalam MCA Bahagian Johor Bahru selepas berkhidmat lebih 30 tahun bagi memberi laluan kepada generasi muda.
Presiden MCA itu sebelum ini, menjawat sebagai setiausaha MCA bahagian itu selama 15 tahun sebelum menjadi ketua MCA bahagian juga selama 15 tahun.
“Hari ini secara rasminya saya melepaskan jawatan di peringkat bahagian, agak sedih juga kerana berada di bahagian ini sejak saya bujang dan ini kali terakhir saya berucap di sini.
“Saya bermula dengan biro aduan awam MCA bahagian, di mana saya terlibat menguruskan mangsa-mangsa penipuan, mangsa along dan lain-lain kes, sehingga menjadi ketua bahagian.
“Tetapi saya yakin dan percaya perlu adanya peralihan kepimpinan di peringkat bahagian, bagi meneruskan kesinambungan demi kesejahteraan masa depan parti,” katanya kepada pemberita selepas mengundi bagi pemilihan jawatan Ketua MCA Bahagian Johor Bahru yang diadakan di Dewan Jubli Intan di Johor Bahru, hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, MCA Bahagian Johor Bahru juga terbukti melahirkan ramai pemimpin prolific bukan sahaja di peringkat parti tetapi juga di dalam kabinet kerajaan seperti bekas Presiden MCA mendiang Lee San Choon dan bekas Pengerusi MCA Johor mendiang Freddie Long.
“Sehubungan itu, saya yakin MCA Bahagian Johor Bahru akan terus berjaya mencapai lebih banyak kejayaan pada masa depan,” katanya.
Menerusi pemilihan pagi tadi, jawatan Ketua MCA Bahagian Johor Bahru kini disandang bekas Ketua Pemuda Bahagian itu, Bong Seng Heng yang meraih 152 undi berbanding pencabarnya, Ang Boon Heng dengan 45 undi. – Bernama, 11 Jun, 2023.
Komen