TERPENGARUH dengan iklan kerja kosong di platform media sosial yang menawarkan gaji lumayan serta manfaat lain di luar negara menjadi antara faktor ada rakyat Malaysia yang “terperangkap” di sana.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata ahli keluarga atau ibu bapa mereka akan melaporkan kepada polis berhubung kehilangan anak mereka atau meminta bantuan supaya anak mereka diselamatkan selepas mangsa berada di luar negara.
“Puncanya adalah terpengaruh dengan kempen dalam media sosial yang mana mereka ditawarkan bekerja di luar negara dengan upah lumayan, tempat tinggal selesa, tambang kapal terbang diberikan dan segala macam.
“... dan apabila mereka sampai di sana (negara terbabit) dapati keadaan mereka lalui tak sama seperti mereka diberitahu, jadi daripada situlah kemudiannya ada yang sempat menghubungi polis,” katanya kepada pemberita di Kulim, Kedah hari ini.
Semalam Bernama melaporkan ibu kepada Chong Sum Yee, 22, wanita Malaysia yang disyaki hilang di Chiang Mai, Thailand tidak mempercayai video anaknya itu mendakwa dirinya selamat dan sihat.
Ibu wanita itu Chee Choy Won, 50, dipetik sebagai berkata ini kerana akaun Facebook yang menggunakan nama “Moe Aye” yang memuat naik rakaman video anaknya tidak dikenali dan dipercayai ia adalah akaun baharu dibuat.
Saifuddin berkata pihaknya menyerahkan kepada polis untuk menyiasat mengenai kes kehilangan wanita itu dan setakat ini beliau belum menerima maklumat perkembangan semasa mengenai kes berkenaan.
Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Negeri Kedah melawat tapak projek menggantikan jambatan di kawasan Kampung Sungai Ular dekat Kulim.
Saifuddin berkata, projek menggantikan jambatan itu membabitkan kos RM9.3 juta dan dijangka siap pada Oktober 2024 yang sekali gus dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar kawasan itu serta melancarkan lagi aliran trafik. – Bernama, 11 Jun, 2023.
Komen