SEORANG lelaki warganegara Malaysia, yang disyaki mendalangi pembunuhan seorang ahli perniagaan senegaranya di Hatyai lebih dua tahun lepas, diberkas di wilayah Udon Thani, di timur laut Thailand, lima hari lepas.
Ketua Polis Imigresen Lt Jen Sutthipong Wongpin berkata lelaki berusia 30 tahun itu melarikan diri dari Thailand ke Kanada susulan pembunuhan Lee Ah Han, 54, di bandar sempadan selatan Thailand pada 4 Dis 2015.
“Dia memasuki Thailand (Udon Thani) secara haram dari Laos baru-baru ini. Dia ditangkap di sebuah restoran di daerah Mueng, wilayah Udon Thani pada 19 Mac,” katanya kepada media di Bangkok, hari ini.
Mahkamah telah mengeluarkan waran tangkap terhadap lelaki itu pada 19 Januari tahun lepas, katanya.
Sutthipong berkata menurut suspek, pembunuhan itu berpunca daripada perbalahan berkaitan pinjaman berjumlah 30 juta Baht (RM3.85 juta) yang diberi mangsa kepadanya.
Suspek disyaki mendapatkan khidmat pembunuh upahan untuk membunuh ahli perniagaan itu, katanya.
Lee, yang berasal dari Alor Setar, Kedah, ditembak dua lelaki bersenjatakan rifel M-16 ketika dia memandu sebuah kereta Mercedes-Benz berwarna hitam bersama-sama seorang wanita Thailand.
Lee, yang cedera pada kepala dan badannya akibat ditembak, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala wanita berkenaan mengalami kecederaan teruk dan dibawa ke hospital berdekatan.
Penyiasat menemukan lebih 10 lubang bekas tembakan pada kereta mewah itu.
Menurut anggota polis tempatan, suspek terlibat dengan beberapa projek hartanah di selatan Thailand dan menjadi orang tengah dalam pembelian tanah di Danok. – Bernama, 23 Mac, 2018.
Komen