PEMAIN nombor satu dunia Iga Swiatek berjaya mempertahankan kejuaraan Terbuka Perancis kali ketiga selepas menumpaskan Karolina Muchova dari Republik Czech di Paris pada Sabtu.
Ini merupakan gelaran Grand Slam keempat bagi Swiatek, lapor Xinhua.
Pemain Poland itu menjuarai perlawanan dengan memperoleh 6-2, 5-7, 6-4 selepas bermain selama dua jam 46 minit.
Dengan itu, Swiatek menjadi wanita pertama mencipta kemenangan berturut-turut di Paris sejak Justine Henin pada 2007.
“Saya tidak tahu apa yang saya rasa. Sukar untuk dijelaskan. Tetapi sangat gembira.
“Saya tiba-tiba merasa penat selepas tiga minggu ini. Mungkin perlawanan saya tidak terlalu meletihkan secara fizikal, tetapi agak sukar untuk mengekalkan tumpuan selama hampir tiga minggu,” kata Swiatek pada sidang media.
Pemain berusia 22 tahun itu perlu berusaha gigih mengatasi tentangan sengit daripada Muchova.
Walaupun mengalami kekalahan dalam perlawanan akhir, Muchova mencipta kejayaan dalam kariernya di Paris, serta menundukkan pilihan kedua Aryna Sabalenka, untuk melayakkan diri ke perlawanan akhir Grand Slam pertamanya.
Swiatek mengungguli tempat pertama dunia dengan meraih gelaran Terbuka Perancis, manakala Muchova di tempat ke-20 dunia selepas penampilan cemerlangnya di Paris. – Bernama, 11 Jun, 2023.
Komen