Manchester City menang Liga Juara-Juara Eropah kali pertama


Manchester City menang Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali dalam sejarah kelab, sekali gus meraih kejuaraan treble selepas menewaskan Inter Milan 1-0. – Gambar AFP, 11 Jun, 2023.

MANCHESTER City memenangi Liga Juara-Juara Eropah buat pertama kali dalam sejarah kelab, sekali gus meraih kejuaraan treble selepas menewaskan Inter Milan 1-0.

Rodri menjaringkan gol tunggal permainan pada minit ke-68 di Stadium Olimpik Ataturk, Istanbul untuk kejuaraan ketiga City musim ini selepas Liga Perdana Inggeris dan Piala FA.

Ia gelaran Liga Juara-Juara ketiga buat pengendali City, Pep Guardiola yang memenanginya sebanyak dua kali bersama Barcelona.

Permainan mungkin akan berlanjutan ke masa tambahan jika tandukan Romelu Lukaku tidak diselamatkan penjaga gol City, Ederson lapan minit kemudian.

Di awal babak kedua, City bernasib baik apabila tandukan Federico Dimarco dihalang rakan sepasukannya sendiri, Lukaku.

Inter berjaya menghalang City daripada menjaringkan gol di babak pertama yang menyaksikan perancang kelab Inggeris itu, Kevin De Bruyne terpaksa dikeluarkan pada minit ke-36 akibat kecederaan, dan digantikan Phil Foden.

Pemain Belgium itu turut menerima nasib sama kettika City tewas pada final Liga Juara-Juara 2021 di tangan Chelsea. – AFP, 11 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen