MENTERI Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menyifatkan tindakan dan perbuatan tidak sensitif oleh pelawak Jocelyn Chia yang memperlekeh Malaysia serta mempersenda tragedi kehilangan pesawat MH370 sebagai biadab.
Beliau berkata tidak ada manusia yang waras dan rasional boleh menerima jenaka yang berunsur memperlekeh, menghina dan mempersenda seperti yang dilakukan wanita itu, walaupun atas nama kebebasan bersuara.
“Kita harap ia kes terpencil, kerajaan Singapura sudah membuat kenyataan (maaf) secara terbuka dan beberapa pemimpin kita pun sebut secara terbuka (mengecam tindakan itu).
“Itu adalah contoh bagaimana kalau tidak ada adab, tidak ada disiplin, tak fikir perasaan orang lain, mempersenda peristiwa yang membawa kepada kehilangan nyawa dan kesedihan kepada orang tersayang yang ditinggalkan, dipersendakan begitu sahaja dan dianggap sebagai unsur jenaka,” katanya ketika sesi townhall ikon Madani di Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan seorang mahasiswa yang ingin tahu pandangannya berhubung tindakan pelawak terbabit yang mempersenda dan memperlekehkan Malaysia termasuk tragedi MH370.
Mengulas lanjut pada sidang media selepas sesi itu, Saifuddin berkata rakyat Malaysia yang waras dan rasional perlu menjarakkan diri daripada menyokong watak atau individu yang melakukan jenaka tidak sensitif seperti itu.
“Jadi nasihat saya tak perlu ada langsung dalam kalangan rakyat Malaysia ini walau apa pun golongannya termasuklah pempengaruh sekalipun untuk ikut terbabit, lebih baik jarakkan diri,” katanya.
Beberapa hari lalu, tular menerusi media sosial satu klip video yang memaparkan seorang pelawak wanita yang berasal dari Singapura memperlekeh Malaysia dalam satu persembahan komediri bertajuk “Singapore vs Malaysia” yang diadakan di New York, Amerika Syarikat. – Bernama, 10 Jun, 2023.
Komen