DAP bukan lagi parti cauvinis di mata pemimpin Umno


Mohd Farhan Darwis

Pemimpin Umno kini menganggap DAP sebagai rakan perkongsian kuasa dan bukan lagi parti cauvinis yang menjadi ancaman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 Jun, 2023.

PEMIMPIN Umno kini mula menunjukkan sikap berbeza ke atas DAP dengan menganggap parti itu sebagai rakan perkongsian kuasa dan bukan lagi parti cauvinis yang menjadi ancaman.

Beberapa pemimpin parti yang ditemui di Perhimpunan Agung Umno 2023 semalam juga giat berusaha menjelaskan alasan untuk bekerjasama dengan bekas musuh tradisi mereka itu.

Seruan ini antara lain dikesan dalam ucapan Ketua Umno Bangi Zaidi Md Zain yang menyeru kepada perwakilan parti agar tidak takut kepada DAP.

Wakil Selangor itu menyebut, DAP tidak menjadi ancaman kerana hanya menguasai jumlah kerusi yang kecil berbanding keseluruhan 56 kerusi di negeri itu.

“Kenapa nak takutkan Melayu dengan DAP. Di Selangor sejak PRU12 hingga PRU14, tiga penggal kalau tengok kerusi DAP hanya 13 hingga 15 kerusi.

“Itu kerusi mereka bertanding di Selangor. Tak lebih daripada itu. Sedangkan keseluruhan kerusi 56 DUN. DAP hanya bertanding 1.4%.

“Kalau menang itu pun dia tak mengatasi jumlah kerusi parti lain. Apa nak takut,” katanya ketika menyertai perbahasan di perhimpunan parti itu semalam.

Selangor antara enam negeri yang bakal mengadakan pilihan raya negeri tidak lama lagi – bersama Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Ucapan Zaidi itu menyusuli saranan asal ditetapkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapan dasar yang tidak mahu pemimpin parti terus mengungkit isu antara parti itu dengan DAP.

Tegas Ahmad Zahid, isu membabitkan hubungan Umno dan DAP sudah selesai ketika pembentukan kerajaan perpaduan.

Zahid menegaskan demikian apabila Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh menuntut DAP memohon maaf bagi melembutkan hati pengundi Melayu untuk menyokong calon PH.

Mengulas perkembangan itu, seorang pemimpin Umno bahagian berpendapat usaha melunakkan persepsi itu tidak boleh hanya terhad kepada akar umbi dan ahli parti.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Damansara Amin Shukor berkata, Umno perlu mendapatkan keyakinan rakyat, sekiranya mahu memperbaiki prestasi mereka pada PRN.

Katanya, Umno perlu memperbaiki kedudukan selepas hanyna memenangi 26 kerusi atau 11.7% daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen dan dengan 23% undi popular.

Mereka perlu meyakinkan orang Melayu untuk mengundi calon daripada kerajaan perpaduan, termasuklah calon DAP, kata Amin.

“Umno kena keluar daripada sentimen yang berpusat kepada ahli sahaja. Itu paling penting.

“Kalau hanya titik beratkan akar umbi dalam rumah Umno, kita kena ingat yang akan mengundi kita di luar adalah rakyat dan masyarakat.

“Kelompok pengundi sangat besar, kalau bekerja untuk akar umbi sahaja, sampai lupa fokus kepada rakyat di luar kita akan jadi pilihan kedua dan ketiga,” kata Amin.

Wakil Umno dalam pentadbiran kerajaan perpaduan hari ini perlu memainkan peranan dalam usaha memberi penjelasan kepada rakyat, tambahnya.

“Sebagai kerajaan bersama kita ada portfolio boleh terus (beri penjelasan) kepada rakyat,” katanya.

Beliau memberi contoh pelantikan pemimpin kanan Umno sebagai menteri dan dalam badan kerajaan seperti bekas ketua pemudanya Asyraf Wajdi sebagai pengerusi Mara.

“Kita nampak hasil kerja memartabatkan rakyat dan masyarakat. Gerak kerja ini perlu dijelaskan kepada rakyat.

“Umno parti untuk Melayu. Pimpinan Umno jangan takut cerita soal memartabatkan Melayu. Cuma bagaimana nak bagi ruang kepada rakyat dan masyarakat itu tugas Umno.

“Kalau kita yakinkan rakyat lebih utama daripada ahli saya rasa kita akan menang PRN,” katanya yang turut melihat imej DAP kini lebih positif apabila bekerjasama dalam kerajaan perpaduan.

Jelasnya, beliau melihat tindak-tanduk DAP dapat diredakan daripada mempersoalkan isu berkaitan orang Melayu.

“Untuk terima 100% mustahil tapi gerak kerja kena betul. Melayu ada sentimen, mustahil (mudah menerima) kita dah doktrin Melayu tentang DAP jadi untuk terima dalam tujuh bulan mustahil.

“Bila kita bersama DAP mereka tidak meragam. Kalau dulu di luar, DAP ini musuh kita, kalau dia duduk jauh kita tak tahu apa dia buat, lagi susah,” katanya.

Tambahnya lagi, kerjasama dalam kerajaan perpaduan juga membolehkan mereka mengawal DAP.

“Hasilnya berdasarkan pemerhatian saya, DAP tidak besar kepala soal Melayu, Raja-Raja dia nak bercakap kita ada dalam kerajaan.

“Setidak-tidaknya kita boleh mengawal DAP daripada meragam buat pelik-pelik,” katanya.

Amin berkata, cabaran Umno seterusnya adalah untuk menampilkan calon muka baharu yang berwibawa untuk ditawarkan kepada pengundi.

“PRN akan datang jangan kitar semula kepimpinan untuk jadi calon kena tawarkan muka baharu. Kalau parti boleh teruskan ruang muka baharu rakyat akan kembali kepada kita,” katanya.

Naib Ketua Pemuda Umno Hairi Mad Shah pula berkata, pemimpin parti juga harus berlapang dada dan memandang ke hadapan dalam kerjasama dengan DAP.

“Kita harus bermaaf-maafan, semua pihak, DAP pernah kecam sekeras-kerasnya Umno, BN, sama juga Umno pernah mengecam sekeras-kerasnya DAP.

“Kita sekarang duduk dalam kerajaan perpaduan, kita muhasabah. Kedua-duanya harus berlapang dada melihat ke hadapan.

“Saya minta kepada komponen PH dengan terbentuknya kerajaan perpaduan cari titik persamaan yang cukup kuat, cukup mantap akhirnya demi kestabilan rakyat di bawah,” katanya.

Penganalisis juga berpandangan, Umno berjaya memberikan pencerahan kepada akar umbinya berhubung kerjasama dengan DAP itu.

Penganalisis Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali melihat masyarakat umum semakin menerima gabungan parti dalam kerajaan perpaduan.

“Salah satunya orang Umno tahu dalam realiti politik Umno tak dominan kerana berlaku perubahan politik akibat kemajuan demografi dan media sosial. Tak sukar untuk akar umbi memahami penjelasan pimpinan.

“Perwakilan yang hadir nampak bersetuju maka menjadi tugas perwakilan beri penjelasan kepada akar umbi. Orang Umno di peringkat cawangan amat mudah, setia dengan Umno, mereka boleh terima pemimpin berkuasa itu tradisi Umno.

“Secara keseluruhannya pemimpin Umno dalam isu kerjasama dengan DAP itu telah diselesaikan dijelaskan dengan baik.

Katanya, kajian yang dilakukannya di Negeri Sembilan sekitar Mac dulu menunjukkan akar umbi juga mampu menerima kerjasama tersebut

“Keserasian PH dengan BN nampak lebih baik berbanding BN bersama PN. Kita tak kata 100% akan sokong tapi majoriti akan sokong gabungan BN dan PH,” katanya.

Tambah beliau, kajian yang dijalankannya di Negeri Sembilan pada Mac menunjukkan majoriti penyokong Umno – sekitar 65% – dapat menerima kerjasama itu.

“(Penyokong Umno yang) tak terima dalam 16%. Mungkin pendirian mereka itu dah berubah bila dengar penjelasan pemimpin dan melihat senario politik hari ini,” kata Mazlan. – 11 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen