Jangan kritik parti dari luar, kata Zahid


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno yang berlangsung di ibu negara hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 Jun, 2023.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi memberitahu pemimpin parti yang digantung dan dipecat supaya berhenti menyerang parti dari luar.

Beliau berkata, jika mereka setia kepada parti, ia akan sentiasa membuka pintu kepada pemimpin ini untuk kembali.

“Dalam hal ini, kita ada perlembagaan parti dan peraturan parti. Kita nak tengok sama ada kawan kita yang digantung kerja atau lebih teruk (dipecat), selepas (tindakan tatatertib), betul-betul orang parti, atau pernah bermusuh dalam parti?

“Kalau betul-betul orang parti, takkan bising sana sini, mengkritik parti dari luar, betul?

“Jika mereka benar-benar sayangkan parti, mereka perlu mencontohi apa yang (Ahli Majlis Tertinggi Umno) Lokman Noor Adam lakukan… dia dipecat tetapi dia tidak pernah tikam belakang parti,” katanya kepada perwakilan parti dalam ucapan penggulungannya di Perhimpunan Agung Umno.

Lokman dipecat pada 2020 selepas mendesak Zahid meletak jawatan tetapi diterima semula pada tahun berikutnya dengan beberapa syarat. Beliau dipilih sebagai ahli majlis tertinggi dalam pemilihan parti 2023.

Difahamkan, Zahid merujuk kepada bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin yang dipecat, dan pemimpin yang digantung Hishammuddin Hussein dan bekas ketua penerangan Shahril Hamdan berhubung kritikan mereka terhadap parti itu.

Zahid kemudian memberitahu pemberita mereka yang dipecat tidak membuat rayuan kepada parti. – 10 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen