SEKRETARIAT Hal Ehwal Industri Halal dan Keusahawanan Umno melancarkan program jelajah usahawan halal yang bakal menjadi platform bagi golongan usahawan, khususnya anak muda untuk mengembangkan potensi mereka ke peringkat lebih tinggi.
Pengerusinya yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, program jelajah usahawan halal itu dirangka khusus untuk membuka ruang serta peluang kepada usahawan termasuk orang awam yang berminat dalam menceburi bidang keusahawanan dan industri halal khususnya modul kursus profesional eksekutif halal.
“Ramai yang tidak sedar industri halal ini sangat besar potensinya, bukan sahaja di dalam negara, malah juga sebagai sumber eksport.
“Nilai eksport halal Malaysia pada 2022 adalah RM59.46 bilion, meningkat RM23.16 bilion atau 63.8% daripada jumlah tahun sebelumnya,” katanya selepas majlis perasmian program jelajah usahawan halal di Kuala Lumpur hari ini.
Program itu dirasmikan oleh Presiden Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, bersempena dengan Perhimpunan Agung Umno 2023.
Usahawan yang menyertai jelajah itu juga berpeluang menyertai audit dalaman halal yang ditawarkan oleh Halal Development Corporation (HDC) bagi mendapat pengiktirafan dan peluang pekerjaan yang sewajarnya untuk maju ke peringkat lebih tinggi.
HDC juga membangunkan platform bersepadu halal (HIP), inisiatif yang mewujudkan satu rangkaian perniagaan menghubungkan usahawan dan pihak berkepentingan dalam ekosistem halal melalui satu platform ‘super apps’ yang bersepadu.
“HIP akan memudahcara dan memantau penyertaan usahawan serta graduan di dalam program jelajah supaya mereka sentiasa berdaya maju dan mampan dalam jangka masa panjang,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, siri jelajah itu akan bermula dalam masa yang terdekat iaitu sekitar Julai dan bermula di Selangor.
“Fokus kita adalah untuk memastikan seberapa ramai graduan dan usahawan mendapat maklumat serta manfaat daripada program ini. Insya-Allah, lebih ramai usahawan industri halal akan dapat dilahirkan daripada program ini,” katanya. – Bernama, 10 Jun, 2023.
Komen