Tak paksa, tapi lebih baik DAP mohon maaf, kata Pemuda Umno


Mohd Farhan Darwis

Dr Akmal Salleh berkata DAP memerlukan sokongan orang Melayu dan kerjasama Umno bagi menghadapi pilihan raya negeri tidak lama lagi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 10 Jun, 2023.

PERMOHONAN maaf tidak dipaksa namun sikap orang Melayu lebih baik terhadap DAP jika parti itu berbuat demikian, kata Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh.

Tambahan pula, DAP pada waktu ini memerlukan sokongan orang Melayu dan kerjasama Umno bagi menghadapi pilihan raya negeri tidak lama lagi, katanya.

“Ini cara paling cepat meredakan suhu di bawah. Mungkin kesukaran ada tapi kita akan hadapi cara kita. Kita dalam hubungan, tak boleh paksa orang minta maaf.

“Kita nyatakan ini keresahan akar umbi. Saya bukan bercakap untuk diri saya. Di bawah rasa bagaimana nak bekerjasama sedangkan orang itu pernah kutuk kita.

“Kalau tak nak, nak buat macam mana, tapi ia akan timbulkan rasa tidak senang akar umbi dan rakyat di bawah,” kata Akmal dalam ucapan pada Perhimpunan Agung Umno 2023 hari ini.

Adun Merlimau itu berkata, isu itu bagaimanapun tidak menjejaskan hubungan antara Umno dan parti rakan dalam kerajaan perpaduan yang kini menjalin hubungan baik.

“Hubungan kami antara pemuda Umno, dan pemuda PH, pemuda kerajaan perpaduan sangat baik. Kami baru lepas konvensyen kerajaan perpaduan.

“Tetapi bila berada dalam PAU ini medan bawa suara akar umbi. Kami menyampai suara akar umbi tidak bermakna hubungan kami dengan pemuda PH dan kerajaan perpaduan tidak baik,” katanya.

Jelasnya, saranan agar DAP memohon maaf seperti dilontarkan dalam ucapannya pada Khamis hanya untuk menyampaikan keresahan akar umbi Pemuda Umno.

“Pemuda kena berani jelaskan isu sebenar supaya ahli boleh berikan kepercayaan kepada pemimpin, jadi mereka tahu bila mereka cakap suara itu sampai ke peringkat atasan.

“Tidak ada isu saya tak boleh bekerjasama. Kena tegas kita bawa suara akar umbi di bawah. Ini dapatan mesyuarat cawangan ke peringkat, bahagian seterusnya ke pusat.

“Ini perlu kami bawa. Kami tak boleh sembunyikan,” kata Akmal.

Pendirian Pemuda Umno itu disokong Timbalan Presiden Mohamad Hasan yang berpendapat DAP wajar mengemukakan permohonan maaf kepada parti itu.

Presiden Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun mengambil pendirian berbeza yang menganjurkan agar isu di antara Umno dan DAP tidak harus dibangkitkan lagi.

Katanya, kerjasama kedua-dua parti sudahpun dipersetujui ketika pembentukan kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada November tahun lalu. – 10 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen