Pemuda MCA pula tuntut DAP mohon maaf


Pemuda MCA menuntut DAP memohon maaf atas tohmahan pada masa lalu yang menyebabkan masyarakat Cina menjauhi parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun 2023.

SELEPAS Pemuda Umno, kini sayap pemuda MCA pula menuntut DAP memohon maaf atas tohmahan pada masa lalu yang menyebabkan masyarakat Cina menjauhi parti itu.

Sokongan terhadap MCA dan Umno menyusut ketara ekoran tuduhan yang dilemparkan oleh DAP pada masa lalu, kata Timbalan Pengerusi Pemuda MCA Tan Chee Hiong.

“Kenyataan tidak bertanggungjawb, termasuk menuduh MCA bersekongkol dengan Umno untuk menjual orang Cina, menggambarkan MCA  sekutu perkauman Umno, dan melabel MCA sebagai pengkhianat kerana mempertahankan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang ‘korup’ telah menyebabkan kerosakan besar.

“Melabelkan MCA sebagai pengkhianat orang China menyebabkan pengundi tinggalkan parti.

“Oleh sebab itu Pemuda MCA percaya DAP bukan sahaja perlu memohon maaf kepada Umno tetapi juga kepada MCA,” kata Tan dalam kenyataan.

Khamis lalu, Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Salleh ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno berkata  DAP harus memohon maaf atas segala tohmahan yang pernah dilemparkan kepada parti Melayu itu sewaktu kedua-dua parti itu bermusuhan sebelum ini.

DAP perlu berbuat demikian bagi melembutkan hati orang Melayu agar memilih mereka dalam pilihan raya negeri akan datang, katanya.

Beliau juga berkata DAP juga perlu membuktikan parti itu tidak mempunyai agenda perkauman dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.

Umno, MCA dan DAP kini sebahagian daripada kerajaan perpaduan.

Mengulas lanjut, Tan berkata jika DAP boleh memohon maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebelum ini untuk membentuk kerajaan perpaduan, jadi mengapa tidak lakukan perkara sama kepada MCA.

“Saya setuju dengan (Ketua Menteri Pulau Pinang) Chow Kon Yeow bahawa kita harus melihat masa depan, namun tidak bermakna kita perlu melupakan masa silam. Permohonan maaf adalah langkah pertama, tetapi DAP juga bermuhasabah diri dan berubah.

“Bukan sekadar permohonan maaf, kita juga mahu DAP berubah. Dengan itu barulah kita dapat menjamin persekitaran politik yang lebih sihat dan adil demi masa depan Malaysia,” katanya. 

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dua hari lalu berkata isu permohonan maaf daripada DAP tidak perlu lagi ditimbulkan.

Ini kerana sudah ada persetujuan bersama dicapai di antara Umno dan Pakatan Harapan ketika rundingan kerjasama dalam pembentukan kerajaan perpaduan.

“Perkara itu tak perlu timbul lagi kerana mereka dah menyatakan perkara ini beberapa kali.

“Malah di dalam perundingan untuk bentuk kerajaan ini perkara itu antara syarat utama mereka setuju seratus peratus tak perlu ulangi perkara yang telah dipersetujui,” kata Zahid. – 10 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen