Lanjut pengecualian duti setem untuk hartanah bawah RM1 juta, kata kumpulan perniagaan


Kerajaan sebelum ini mengumumkan pengecualian 100% duti setem untuk instrumen pemindahan dan perjanjian pinjaman bagi hartanah bernilai RM500,000 dan ke bawah sehingga akhir tahun 2025 serta 75% pengecualian untuk hartanah bernilai antara RM500,001 hingga RM1 juta bermula 1 Jun lepas sehingga hujung tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Jun, 2023.

SEBUAH kumpulan perniagaan meminta Putrajaya melanjutkan tempoh pengecualian duti setem bagi hartanah berharga antara RM500,001 dan RM1 juta kepada akhir 2025 berbanding akhir 2023.

Ini bagi menyeragamkan tempoh pengecualian untuk hartanah bernilai bawah RM500,000 yang akan berakhir pada hujung tahun 2025, kata Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCIM)

Katanya pengecualian itu boleh dibuat ketika pembentangan Bajet 2024 pada Oktober tahun ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan pengecualian 100% duti setem untuk instrumen pemindahan dan perjanjian pinjaman bagi hartanah bernilai RM500,000 dan ke bawah sehingga akhir tahun 2025 serta 75% pengecualian untuk hartanah bernilai antara RM500,001 hingga RM1 juta bermula 1 Jun lepas sehingga hujung tahun ini.

Selain itu, pemindahan hartanah berasaskan kasih sayang antara pasangan, ibu bapa, anak, datuk nenek dan cucu turut diberikan pengecualian penuh duti setem untuk nilai RM1 juta pertama hartanah.

“Langkah ini akan menggalakkan pemilikan rumah pertama dan menyokong pembinaan hartanah kediaman yang seterusnya akan turut merangsang industri sokongan lain.

“Pengecualian duti setem dianggarkan akan membolehkan pembeli rumah pertama berjimat sehingga RM11,500 untuk hartanah berharga bawah RM500,000 dan RM21,750 untuk hartanah berharga RM1 juta.

“Langkah ini dijangka meningkatkan jualan hartanah baru berharga antara RM500,000 dan RM1 juta (walaupun industri) terkesan dengan kadar pinjaman yang tinggi,” kata ACCCIM dalam kenyataan hari ini.

Gabungan persatuan industri itu turut berharap yang institusi kewangan meneruskan tawaran pinjaman gadai janji yang menarik khas untuk pembeli rumah pertama. – 10 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen