TAKUNGAN yang membekalkan air penyejuk kepada loji kuasa nuklear Zaporizhzhia di Ukraine terus menyusut selepas empangan utama runtuh, menurut pemerhati badan nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Jumaat.
Loji kuasa nuklear terbesar di Eropah itu kini berada di bawah kawalan tentera Rusia sejak 4 Mac 2022 - kira-kira dua minggu selepas Rusia memulakan operasi ketenteraan ke atas Ukraine.
Pakar dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang melawat loji itu menjelaskan bahawa paras air dalam takungan itu terus menurun dengan kadar kira-kira lima sentimeter setiap jam dan kini telah mencapai 11.62 meter dari ketinggian hampir 17 meter sebelum empangan itu rosak pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.
“Walaupun tiada ancaman dalam jangka masa pendek, kejadian runtuhan empangan ini mencetuskan kesulitan baharu yang serius bagi Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia pada satu-satu masa dengan situasi keselamatan dan kestabilan nuklear sangat berisiko dan berbahaya akibat konflik ketenteraan,” kata Pengarah Agensi IAEA, Rafael Grossi, dalam satu kenyataan.
Sumber utama bekalan air alternatif - kolam penyejuk di samping loji dan saluran pembuangan loji berdekatan - kedua-duanya penuh, menurut agensi itu.
Grossi menyatakan pasukan IAEA telah dimaklumkan bahawa saluran pembuangan loji nuklear itu mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk penyejukan yang diperlukan selama beberapa minggu dan kolam penyejuk mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk tempoh beberapa bulan.
Grossi akan mengunjungi Kyiv dan loji Zaporizhzhia pada minggu hadapan untuk membentangkan butiran pakej bantuan baharu daripada IAEA. – Bernama, 10 Jun, 2023.
Komen