FGV patut singkir Isa Samad, bukan Zakaria, kata NGO


Amin Iskandar

FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) seharusnya menyingkirkan pengerusinya Isa Samad dan bukannya Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Zakaria Arshad, kata Mazlan Aliman.

Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) itu berkata sejak menjadi pengerusi Felda pada 2011, Isa merupakan beban kepada organisasi itu.

“Sepatutnya berilah peluang kepada Zakaria yang merupakan anak kepada peneroka Felda untuk melaksanakan visinya.

“Sejak pegang FGV, Zakaria sudah berjaya mengurangkan kos pembangunan pengurusan,” kata Mazlan kepada The Malaysian Insight.

Mazlan berkata, beliau mendapat maklumat, Zakaria dipaksa bercuti dan bakal disingkirkan tidak lama lagi kerana bukanlah seseorang yang mengikut telunjuk Isa.

“Tentulah ada risiko bila jual kepada syarikat di negara bergolak seperti Afghanistan.

“Kelewatan pembayaran ini pernah berlaku dahulu. Letak beban kesalahan kepada Zakaria adalah tidak adil,” kata Mazlan merujuk kepada urusniaga antara Delima Oil Products (DOP) dan Safitex yang dijadikan sebab untuk memaksa Zakaria dan tiga lain untuk bercuti.

Hari ini FGV membuat kejutan apabila meminta Zakaria dan tiga yang lain untuk bercuti dengan serta merta.

Pada sidang media tergemparnya di Menara Felda di Kuala Lumpur hari ini Isa mengatakan empat orang yang dipaksa bercuti ialah Zakaria; Ketua Pegawai Kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha; Pengurus Besar Kanan Delima Oil Products Kamarzaman Abd Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif FGV Trading, Ahmad Salman Omar.

Mazlan turut menggesa Perdana Menteri Najib Razak dan Pengerusi Felda Shahrir Samad untuk campurtangan dalam pergolakan yang sedang melanda FGV ini.

“Felda merupakan pemegang saham FGV jadi Shahrir Samad tidak boleh hanya mendiamkan diri,” katanya.

Isa berkata hari ini Zakaria masih belum disingkirkan dan hanya diminta bercuti sehingga siasatan terhadapnya selesai.

“Pagi tadi kita sudah serahkan surat kepada Zakaria supaya beliau bercuti membolehkan penyiasatan ke atas perkara itu terus berjalan sehingga siap, selepas itu kita akan berikan surat tunjuk sebab.” kata Isa.

Pagi tadi, Zakaria memberitahu media yang dia percaya isu urus niaga di antara Safitex dan DOP hanyalah alasan untuk menyingkirkannya.

Zakaria berkata, tunggakan itu yang hanya kira-kira 0.2 peratus daripada perolehan FGV, bukanlah isu besar sehingga cukup kuat untuk dijadikan sebab dia dipaksa meletak jawatan atau dipecat. – 6 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen