BANK Negara Malaysia (BNM) hari ini mengumumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Shaik Abdul Rasheed Abdul Ghaffour sebagai gabenor untuk tempoh lima tahun berkuat kuasa 1 Julai, 2023 hingga 30 Jun, 2028.
Dalam satu kenyataan, BNM berkata Rasheed akan mengambil alih jawatan gabenor daripada Nor Shamsiah Mohd Yunus, yang menyempurnakan tempoh lima tahunnya pada 30 Jun, 2023.
“Menerajui Bank selama lima tahun ini merupakan suatu penghormatan kepada saya. Saya berterima kasih kerana diberi peluang untuk memimpin bank dan berkhidmat untuk negara, terutamanya semasa keadaan tidak menentu dan sangat penting kepada negara.
“Saya percaya Rasheed merupakan pilihan tepat untuk menerajui bank sebagai gabenor, setelah bertahun-tahun bekerjasama rapat dengan beliau.
“Saya yakin dengan keupayaan beliau untuk memimpin bagi terus memenuhi mandat iaitu menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan,” kata Nor Shamsiah.
Lembaga Pengarah BNM merakamkan penghargaan kepada Nor Shamsiah atas sumbangan dan perkhidmatan beliau kepada BNM dan juga negara.
Beliau menunjukkan kepimpinan terbaik dan komitmen yang luar biasa dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai gabenor dan pengerusi lembaga pengarah.
Lembaga pengarah juga yakin berdasarkan pengalaman yang luas dan prestasi Rasheed yang cemerlang semasa berkhidmat di BNM, beliau akan memimpin BNM untuk mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan dan meneruskan tradisi kecemerlangan demi kepentingan negara.
“Pelantikan sebagai gabenor merupakan suatu penghormatan kepada saya. Saya akan meneruskan dan meningkatkan lagi usaha Gabenor Shamsiah.
“Di bawah kepimpinan beliau, BNM terus memenuhi mandatnya untuk menggalakkan kestabilan monetari dan juga kewangan meskipun melalui banyak tempoh yang mencabar termasuk krisis pandemik.
“Beliau juga memulakan pelbagai inisiatif pemodenan organisasi untuk membentuk semula dan meletakkan BNM pada kedudukan yang lebih baik untuk memanfaatkan peluang dan menangani cabaran pada masa hadapan. Saya akan berusaha dan memberikan yang terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai gabenor,” kata Rasheed.
Rasheed mula berkhidmat di BNM pada 1988 dan dilantik sebagai timbalan gabenor pada 2016. Beliau memperoleh ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya.
Beliau juga mempunyai MBA daripada Saïd Business School, Oxford University.
Sepanjang kerjayanya, Rasheed pernah memegang pelbagai jawatan pengurusan kanan. Beliau kini merupakan ahli Jawatankuasa Dasar Monetari dan Jawatankuasa Kestabilan Kewangan sejak 2015.
Beliau juga memainkan peranan penting dalam pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Sektor Kewangan dan Pelan Sektor Kewangan. – Bernama, 9 Jun, 2023.
Komen