Zahid dan Anwar boleh bebas Najib, kata perwakilan Umno


Mohd Farhan Darwis Ravin Palanisamy

PM Anwar Ibrahim dan TPM Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kuasa politik untuk membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak, kata perwakilan Umno. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Jun, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mempunyai kuasa politik untuk membebaskan bekas perdana menteri Najib Razak, kata perwakilan Umno.

Ketua Umno Bangi Zaidi Md Zain berkata menuntut Anwar dan Zahid berusaha membebaskan Najib kerana menurutnya bekas presiden Umno itu mampu menguatkan kerajaan perpaduan.

“Gandingan mantap antara presiden sebagai timbalan perdana menteri dengan perdana menteri akan dapat melakukan sesuatu bebaskan Bossku dan berikan kekuatan kepada kerajaan perpaduan.

“Kita masih terngiang-ngiang fenomena Bossku di seluruh negara. Bossku dipenjarakan kerana sistem kehakiman korup dan hakim yang zalim,” katanya.

Zaidi juga mendakwa tuduhan yang dikenakan ke atas Najib hanyalah agenda Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri ketujuh.

“Kita percaya Bossku boleh bebas dengan kuasa politik dan yang ada kuasa adalah perdana menteri ke-10 (Anwar).

“Presiden (Zahid) dah bangkitkan di hadapan perdana menteri dengan disaksikan kita semua.

“Insha Allah kita menuntut daripada pihak kerajaan supaya memberikan ruang yang cukup kepada Bossku membela diri,” katanya.

Selanjutnya, Zaidi mendakwa Anwar sendiri pernah menjadi mangsa Dr Mahathir dan pernah dipenjarakan.

Oleh itu beliau berpendapat, tuduhan dan hukuman pemenjaraan yang dijalani Najib pada masa ini didalangi Dr Mahathir yang digelarnya sebagai “Atuk”.

“Ini permainan Atuk, perdana menteri dipenjarakan Atuk. Najib pun dipenjarakan Atuk,” katanya.

Dakwanya lagi, Najib juga menjalani hukuman disebabkan institusi kehakiman yang tidak adil.

“Apakah kita percaya Najib dipenjara kerana korupsi? Tidak. Kita tidak percaya. Apakah nak biarkan Bossku berada di sana lebih lama lagi. Bossku mangsa permainan jenayah politik Atuk.

“Saat dan ketika ini saya percaya bahawa hanya presiden kita sahaja dapat bela nasib Bossku. Persoalannya adakah kita berpuas hati dengan usaha kita lakukan untuk bebaskan Bossku.

“Insya-Allah masih ada ruang untuk buat sesuatu membebaskan Bossku,” katanya.

Beliau turut meminta perwakilan untuk berdiri dan memegang poster menuntut Najib dibebaskan sambil melaungkan slogan, antaranya “Hidup Bossku” sebelum mengakhiri ucapannya.

Zaidi merujuk ucapan terdahulu Zahid yang memberi jaminan akan terus menuntut keadilan ke atas Najib yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun.

Zahid sewaktu ucapannya menegaskan Umno tidak pernah berhenti untuk membebaskan bekas presidennya dan akan tetap menuntut keadilan untuk.

Umno menghantar permohonan mendapatkan pengampunan diraja untuk Najib kepada Lembaga Pengampunan namun ia tidak dimasukkan dalam agenda mesyuarat lembaga itu pada April lalu.

Najib, 69, disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai, 2020.

Mahkamah Rayuan turut mengekalkan keputusan itu pada 8 Disember, 2021. – 9 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen