Beri peluang kerajaan perpaduan laksana janji, kata Zahid


Ravin Palanisamy Mohd Farhan Darwis

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata rakyat perlu beri peluang kepada kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk buktikan kemampuannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Jun, 2023.

BERI kerajaan perpaduan peluang untuk membuktikan kemampuannya kepada semua rakyat Malaysia, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Zahid berkata walaupun ada rungutan tentang pentadbiran kerajaan sekarang tidak menjadi “game changer” dengan melaksanakan janji, beliau tetap optimis ia akan dapat dicapai.

Aktanya, kerajaan semasa baru tujuh bulan memerintah.

“Beri kerajaan ini peluang untuk menterjemahkan agenda yang dijanjikan dan dirancang,” katanya yang juga timbalan perdana menteri.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Umno di ibu pejabat parti, di PWTC hari ini.

“Saya percaya ia boleh dilaksanakan dengan sokongan penjawat awam, yang patuh kepada prinsip kesetian kepada kerajaan semasa.

“Walaupun kita tahu ada yang cenderung kepada kepimpinan terdahulu, kami kerajaan, yakin mereka (penjawat awam) akan sokong kerajaan sekarang demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Zahid, yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kerjasama politik dalam kerajaan perpaduan lebih rumit berbanding sebelum ini, tetapi kepelbagaian akan hanya mengukuhkan mereka.

“Dengan penyertaan 19 parti politik, lebih besar daripada kerjasama politik 1974, pelannya tentu lebih rumit.

“Namun, kepelbagaian yang wujud perlu dilihat sebagai kekuatan ketika kita berdiri atas titik persamaan,” katanya.

Zahid berkata walaupun BN bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), Umno sentiasa mempertahankan asas negara supaya kedudukan Islam dan Bumiputera, selain Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, terus dijunjung dan tidak pernah dipertikaikan.

Artikel 153 membabitkan hak istimewa kaum Melayu dan masyarakat Bumiputera di negara ini.

Zahid berkata walaupun terus dilabel sebagai parti rasis, Umno membuktikan ia adalah parti sederhana dan pragmatik.

“Sejak Umno memperjuangkan kemerdekaan negara, ia berpegang kepada pendekatan sederhana,” katanya. – 9 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen