Kes tuntutan palsu, AMLA Azlan Man dibicarakan bersama


Bekas menteri besar Perlis Azlan Man mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun 2023.

KES tuntutan palsu bekas menteri besar Perlis Azlan Man di Mahkamah Sesyen Kangar akan dibicarakan bersama lima lagi kes menerima wang hasil aktiviti haram yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ini berikutan keputusan Hakim Azura Alwi yang membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong supaya kelima-lima pertuduhan tuntutan palsu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk didengar bersama lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti pengubahan wang haram mengikut Seksyen 165 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ).

“Pihak pendakwaan telah menyerahkan dokumen berkaitan kes tersebut kepada pembelaan mengikut Seksyen 51A KTJ. Kami juga memohon mahkamah menetapkan satu tarikh sebutan kerana difahamkan pihak pembelaan berhasrat untuk menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC),” kata Lim.

Peguam Burhanudeen Abdul Wahid yang mewakili Azlan tidak membantah permohonan pendakwaan untuk menggabungkan kesemua kes berkenaan dan mengesahkan menerima kesemua dokumen berkaitan selain memaklumkan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen serta mendapatkan arahan lanjut daripada anak guam berkenaan representasi tersebut.

Terdahulu, Azlan, 64, berkemeja biru mengekalkan pengakuan tidak bersalah selepas kelima-lima pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dibacakan semula di hadapan Azura, yang kemudiannya menetapkan 8 September depan untuk sebutan semula kes.

Pada 10 April lepas, Azlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta antara 2013 dan 2017.

Mengikut kesemua pertuduhan, Azlan sebagai ejen kerajaan negeri Perlis, iaitu menteri besar Perlis, didakwa menggunakan beberapa dokumen mengandungi butiran palsu bagi membuat tuntutan kemudahan Cuti Seberang Laut ke London, United Kingdom sedangkan tidak ada perjalanan seperti yang dituntut tersebut.

Dokumen itu antaranya invois dan sebut harga tiket penerbangan pergi balik dan hotel penginapan yang dikeluarkan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd, selain Pesanan Kerajaan Negeri Perlis (borang AM 75E) yang didakwa digunakan bagi membuat tuntutan kos tiket penerbangan, hotel penginapan dan pengangkutan.

Kesemua kesalahan didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan di sini, antara Disember 2013 hingga Disember 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Pada 12 April, tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017.

Bekas Adun Bintong itu didakwa melakukan kesalahan di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, CIMB Bank cawangan Putrajaya dan Hotel Sheraton Imperial di Kuala Lumpur, antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. – Bernama, 9 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen