PEJUANG kemerdekaan Malaysia yang juga bekas ahli politik Lim Kean Chye meninggal dunia pada usia 103 tahun pada Rabu, lapor Malaysiakini.
Bekas peguam yang menerima pendidikan di Cambridge itu adalah ahli pengasas Malayan Democratic Union yang memperjuangkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu dan Singapura daripada penjajahan British.
Anak perempuan mendiang, Lim Miao Yiong berkata beliau dimaklumkan bapanya itu meninggal dunia di rumahnya pada lewat malam Rabu.
“Tiada majlis pengebumian, upacara memberi penghormatan terakhir atau apa-apa juga majlis kerana bapa saya tidak gemar dengan perkara begitu.
“Jadi, pembakaran mayat akan diadakan secara tertutup bersama keluarga terdekat saja akan diadakan,” katanya dipetik berkata.
“Bapa saya meninggal dunia kerana sakit tua, dan memang keadaannya sudah lemah.”
Lim adalah anak lelaki kepada Lim Cheng Ean, yang juga peguam lulusan Cambridge dan juga ahli dewan pada 1930-an, serta cucu kepada Phuah Hin Leong.
Mendiang meninggalkan seorang balu, dua anak perempuan, empat cucu dan tujuh cicit. – 9 Jun, 2023.
Komen