Lupakan kisah silam, Loke beritahu Pemuda Umno


Ravin Palanisamy

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata Umno dan DAP kini berada di dalam kerajaan perpaduan, justeru sudah tiba masanya kedua-dua parti mengorak langkah ke hadapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Jun 2023.

TIDAK perlu lagi mengungkit kisah silam antara Umno dan DAP kerana ia tidak akan berkesudahan, kata Anthony Loke.

Umno dan DAP kini berada di dalam kerajaan perpaduan, justeru sudah tiba masanya kedua-dua parti itu mengorak langkah ke hadapan, ujar setiausaha agung DAP itu.

Beliau berkata demikian mengulas tuntutan Pemuda Umno semalam agar DAP memohon maaf atas segala tohmahan yang pernah dilemparkan kepada parti Melayu itu sewaktu kedua-dua parti bermusuhan sebelum ini.

“Setiap orang ada pandangan masing-masing.

“Bagaimanapun, saya bersetuju dengan inti pati ucapan Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi), yang meminta semua orang lupakan kisah silam dan bersatu demi negara.

“Kalau kita terus ungkit kisah lama, perkara ini tidak akan selesai,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Agung Umno 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), hari ini.

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Salleh dalam ucapan dasarnya semalam berkata, DAP perlu memohon maaf kepada Umno untuk melembutkan hati orang Melayu agar memilih mereka dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

DAP juga katanya perlu membuktikan parti itu tidak mempunyai agenda perkauman dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.

Selain itu, DAP perlu membuktikan parti itu tidak akan bersikap anti-Melayu, anti-Islam, rasis, dan berkiblat komunis sewaktu menyertai kerajaan perpaduan, tambah Akmal.

Mengulas lanjut, Loke berkata apa yang lebih penting ketika ini semua parti dalam kerajaan perpaduan fokus kepada usaha untuk mengukuhkan lagi kerjasama yang terjalin sejak enam bulan lalu.

“Tak perlu kita ulas lagi (isu minta maaf). Kerajaan ini sudah berfungsi dengan baik. Kalau kita terus berpolemik dengan kisah lama, ia tidak akan berkesudahan.

“Kerajaan sudah terbentuk, dan Kabinet sudah berfungsi dan bermesyuarat bersama setiap minggu selama lebih enam bulan.

“Setakat ini tak timbul isu ketidakserasian parti dalam kerajaan perpaduan. Apa yang penting hari ini, kita kena tunjukkan komitmen kita untuk bekerjasama. 

“Kita lupakan persengketaan politik. Itu sudah dinoktahkan sejak penubuhan kerajaan perpaduan pada November lalu,” katanya. – 9 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen