Umno tak pernah lupakan Najib, kata presiden


Mohd Farhan Darwis

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengiringi Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang turut menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023, pagi ini di Pusat Dagangan Dunia. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Jun, 2023.

PRESIDEN Umno Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu tidak pernah melupakan bekas presiden dan perdana menteri Najib Razak yang kini sedang menjalani hukuman penjara.

Parti itu akan tetap menuntut keadilan untuk Najib yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

“Bekas perdana menteri kita di belakang tabir besi doakan kerajaan perpaduan merampas semula negeri ini.

“Kita berikan semangat walaupun beliau tiada bersama kita secara fizikal, jiwa dan roh beliau tetap bersama kita, semangat beliau tetap bersama kita.

“Kita mahukan keadilan untuk Najib Razak. Kita mahu keadilan diberikan kepada beliau sebagai seorang manusia,” kata Ahmad Zahid di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023, pagi ini.

Seruannya sewaktu menyampaikan ucapan dasar presiden itu disambut dengan laungan slogan “Bossku” beberapa kali oleh perwakilan Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia.

Gelaran “Bossku” itu merujuk kepada Najib, 69, yang turut dikenakan hukuman denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020.

Jaminan Ahmad Zahid itu muncul sewaktu satu kempen mengenang Najib dikesan bergerak melalui pengedaran poster kepada orang ramai sewaktu PAU 2023 berlangsung.

Poster itu turut memaparkan wajah Zahid dan Ketua Penerangan Umno Azalina Othman Said dengan grafik mulut mereka dizip selain turut disertakan slogan #BebasNajib.

Ia turut memaparkan teks yang menunjukkan seolah-olah Umno sudahpun melupakan perdana menteri keenam itu.

“Hari berganti minggu, minggu berganti bulan, bulan berganti tahun.

“Mana janji-janji dulu, Najib masih dipenjara. Janji terus tinggal janji. Apa guna berjanji kalau tidak ditepati,” tulis poster berkenaan.

Poster tersebut dikesan diletakkan di raga motorsikal dan cermin kereta yang diparkir di sekitar kawasan WTC yang menjadi tumpuan ahli Umno sehingga hujung minggu ini. – 9 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen