30 tahun PAS jaga Kelantan, air tetap berkarat, kata Ahmad Zahid


Mohd Farhan Darwis Ravin Palanisamy

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika memberikan ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 9 Jun, 2023.

PARTI dalam kerajaan perpaduan perlu menawarkan untuk membawa perubahan besar ke atas pembangunan asas seperti bekalan air di Kelantan, kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau pada masa sama menyelar kerajaan pimpinan PAS yang masih gagal membekalkan air bersih kepada rakyat negeri itu.

“Banyak agenda pembangunan asas, terutama di Kedah dan Kelantan, memerlukan perubahan-perubahan besar. Islam itu bersih. Bersih di luar dan bersih di dalam.

“Untuk bersih, Islam memerlukan air bersih. Soal keperluan air bersih umpamanya di Kelantan, seolah-olah jalan penyelesaiannya tidak kunjung tiba,” katanya.

Tambah beliau lagi pemimpin PAS tidak mampu memperbaiki mutu bekalan air bersih tersebut walaupun sudah mentadbir Kelantan selama tiga dekad.

“Apakah mereka tidak diberi peluang? Tiga puluh tiga tahun menjadi pemerintah di negeri dan wakil mereka pernah menjadi menteri yang menjaga air, air karat masih gagal dijernihkan.

“Karatnya air begitu jugalah karatnya hati mereka,” kata Ahmad Zahid.

Beliau sehubungan itu menyeru pengundi dari negeri tersebut memberikan peluang kepada kerajaan perpaduan bagi membolehkan kebajikan mereka terus terjaga.

“Oleh yang demikian, sudah tiba masanya anak-anak Kelantan, Kedah dan Terengganu di perantauan, fikirkanlah nasib ibu ayah yang tinggal di negeri-negeri berkenaan.  

“Janganlah dek kerana satu undi yang kita berikan, kita akan terus membiarkan ibu ayah kita, berhadapan dengan kesulitan hidup berterusan.

“Inilah masanya untuk mereka bersama-sama dengan kerajaan Malaysia,” kata Ahmad Zahid lagi dalam ucapan dasar di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 hari ini.

Katanya, selain Kelantan, Umno perlu memastikan negeri majoriti Melayu seperti Kedah, dan Terengganu dapat dirampas kerajaan perpaduan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kelak.

Presiden Umno itu berkata, negeri yang kini ditadbir Perikatan Nasional (PN) tidak wajar dibiarkan terpisah daripada pentadbiran kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

“Umno memikul amanah yang amat besar kerana berhadapan dengan negeri-negeri yang dikategorikan sebagai jalur Melayu atau ‘the Malay belt’ iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Menjadi tanggungjawab kita bersama untuk membawa umat Melayu dan rakyat di negeri-negeri berkenaan, menjadi sebahagian daripada kerajaan Madani yang benar-benar mencerminkan wajah Malaysia.  

“Kita tidak mahu negeri-negeri berkenaan diheret ke kancah fahaman politik yang memisahkan rakyatnya, daripada hakikat laman politik tanah air,” kata Ahmad Zahid. – 9 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen