Paras air masih meningkat di Kherson, Ukraine selepas empangan musnah


Menurut angka Ukraine, 600 kilometer persegi kawasannya kini dinaiki air dengan 32 peratus daripadanya di wilayah yang dikuasai Kyiv dan 68 peratus lagi di wilayah yang diduduki Moscow. – Gambar AFP, 9 Jun, 2023.

AIR deras masih mengalir keluar dari takungan di belakang empangan Kakhovka di wilayah selatan Kherson Ukraine semalam, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Paras air di tasik merosot satu meter dalam tempoh 24 jam dan mencatat 13.05 meter setakat pagi semalam, menurut operator loji kuasa hidroelektrik milik kerajaan Ukrhydroenergo di Kyiv.

Di Kherson banjir mencatat paras 5.61 meter pada pagi Khamis, kata gabenor tentera Ukraine Oleksandr Prokudin.

Pemindahan penduduk sedang dijalankan namun ramai tidak mahu meninggalkan kawasan itu, kata Produkin.

Kherson berada di bawah kawalan Ukraine berbanding kebanyakan wilayah di tebing kiri Dnipro yang diduduki oleh tentera Rusia.

Menurut angka Ukraine, 600 kilometer persegi kawasannya kini dinaiki air dengan 32 peratus daripadanya di wilayah yang dikuasai Kyiv dan 68 peratus lagi di wilayah yang diduduki Moscow. – Bernama, 9 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen