Minta DAP mohon maaf cadangan yang baik, kata timbalan presiden Umno


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata ia tidak seharusnya menjadi isu memandangkan DAP pernah membuat permohonan maaf kepada rakyat Sarawak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2023.

TIMBALAN Presiden Umno Mohamad Hasan memuji cadangan sayap Pemuda agar DAP memohon maaf kepada parti itu kerana ia adalah satu cadangan yang baik.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, ia tidak seharusnya menjadi isu memandangkan DAP pernah membuat permohonan maaf kepada rakyat Sarawak, sebelum ini.

“Dia (cadangan itu) tak ada apa masalah, cadangan yang baik bagi saya.

“Kalau DAP berbesar hati, magnanimous minta maaf kepada rakyat Sarawak, jadi itu tiada isu,” kata Mohamad. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas menghadiri mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Khas sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2023 yang akan bermula esok hingga Sabtu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula sebelum itu bagaimanapun menegaskan isu berhubung Umno dan DAP tidak seharusnya dibangkitkan lagi.

Ahli Parlimen Bagan Datuk menegaskan, isu antara kedua-dua parti itu sudah diselesaikan ketika rundingan kerjasama sewaktu pembentukan kerajaan perpaduan.

Mohamad yang juga menteri pertahanan melihat, sekiranya DAP membuat permohonan maaf itu, ia juga baik untuk kerjasama mereka pada masa hadapan memandangkan mereka kini bekerjasama dalam kerajaan perpaduan.

“Kalau boleh alhamdulillah kerana kita akan bekerjasama dalam kerajaan kita mesti berbesar hati untuk melakukan apa yang baik untuk masa depan,” katanya.

Sebelum pembentukan kerajaan perpaduan, DAP pada November tahun lalu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Premier Sarawak Abang Johari Openg sekiranya pemimpin parti itu pernah mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat negeri berkenaan.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook berkata, permohonan itu dibuat ketika mengadakan pertemuan bersama Abang Johari di kediamannya di Kuching.

Cadangan permohonan maaf itu dikeluarkan oleh Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Salleh ketika berucap menyampaikan ucapan dasar pagi tadi, sempena Perhimpunan Agung Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Adun Merlimau itu berkata, DAP perlu membuat permohonan maaf kepada Umno kerana sepanjang mereka bermusuhan parti komponen PH itu pernah melemparkan pelbagai tohmahan kepada mereka.

Permohonan maaf itu juga katanya mampu melembutkan hati orang Melayu untuk mengundi calon daripada kerajaan perpaduan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang.

Akmal juga berkata, DAP perlu membuktikan segala tohmahan pemikiran, dakwaan DAP anti Melayu, anti Islam, rasis komunis centrict, tidak sama-sekali akan berlaku dalam kerajaan perpaduan.

“Kena jujur kenapa dengan GPS boleh buat, kenapa bukan dengan kita, saya mohon kepimpinan DAP kalau nak menempuh PRN mahu hati orang Umno lembut, maka satu tuntutan maaf daripada DAP atas tohmahan kepada Umno mesti dilakukan segera dan inilah cara kita,” kata Akmal, dalam ucapannya.

Kedua-dua parti itu merupakan musuh tradisi sejak sekian lama memutuskan untuk bekerjasama dan menjadi antara 19 parti yang membentuk kerajaan perpaduan selepas tiada parti memperolehi majoriti mudah 112 untuk membentuk kerajaan bersendirian selepas PRU15.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim kemudian dilantik sebagai perdana menteri dengan sokongan Barisan Nasional (BN), serta parti dari Sabah dan Sarawak.

Anwar juga dijangka menghadiri persidangan PAU esok. – 8 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen