Pemuda Umno tetap dengan pendirian mahu DAP mohon maaf


Mohd Farhan Darwis

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Salleh berkata pihaknya tidak berganjak dengan tuntutan agar DAP memohon maaf kerana itu adalah suara akar umbi orang Melayu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Jun, 2023.

PEMUDA Umno berkeras agar DAP memohon maaf sebagai usaha melembutkan hati masyarakat Melayu untuk menerima parti tersebut.

Ketua pergerakan itu Dr Akmal Salleh berkata Pemuda Umno tidak berganjak dengan tuntutan tersebut kerana itu adalah suara akar umbi orang Melayu.

“Kebenaran itu kadang kala pahit tetapi saya nak beritahu yang pahit itulah ubat untuk mengubati.

“Jadi apabila Pemuda bersuara, inilah suara akar umbi dari bawah. Pemuda di hadapan saya, jangan pernah rasa apologetik. Keluar dari dewan ini kita patut bangga kerana kitalah bawa suara akar umbi,” kata Akmal.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di Kuala Lumpur petang tadi.

Akmal awal hari ini turut memberi ingatan agar DAP membuktikan parti itu tidak mempunyai agenda perkauman dalam pentadbiran kerajaan perpaduan.

Susulan itu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam reaksi balasnya mengingatkan isu berkaitan hubungan Umno dan DAP tidak seharusnya dibangkitkan memandangkan kedua-dua parti membentuk kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun, Akmal berkata pihaknya tetap dengan pendirian itu.

“Kenyataan yang kita buat pagi tadi, sama sekali tidak akan kita tarik. Itu muktamad. Biarlah orang kata kita langau, biarlah orang kata kita biadap, yang penting kita tahu kita bawa suara rakyat di bawah ini. 

“Kita tak gentar dengan apapun yang akan berlaku di depan, selagi mana kita membawa suara keramat akar umbi Umno ini.

“Kami sayang parti kita, parti Umno. Kalau tak sayang, kami tak cakap perkara yang betul. Kalau tak sayang, kami tak duduk dalam dewan ini,” kata Adun Merlimau itu lagi.

Beliau turut menjelaskan, kenyataan itu dikeluarkannya kerana rasa sayangkan parti.

“Ada orang kata bila kita marah, kita benci. Tidak bermakna marah benci, kita marah kita sayang.

“Kalau dulu ayah kita marah kita sebab benci kita? Sama juga anak-anak ini. Anak-anak ini ada ideanya. Kita tidak marah. Kita tegur apa yang tidak betul. Itu sahaja,” kata Akmal.

Beliau turut menyeru anggota Pemuda Umno agar terus mempertahankan prinsip asas Umno iaitu Melayu dan Islam.

“Ini parti Melayu. Umno ini adalah Melayu. Maka Umno ini perjuangan Melayu, Islam. Apa sahaja yang berlaku jika ada mana-mana pihak dari luar atau dalam parti menggugat prinsip kita, akan kita tentang makhluk itu sehabis-habisnya

“Kita tidak boleh diam sahaja. Ini parti kita, maka bersuaralah pemuda. Tidak boleh duduk membisu, tak boleh. Perlu bersuara demi parti keramat orang Melayu,” tambahnya. – 8 Jun, 2023.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen