PAC saran ketua audit negara dilantik segera


Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata kerajaan perlu hentikan amalan melantik ketua audit negara daripada dalam kalangan mantan KSU. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2023.

JAWATANKUASA Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyarankan kerajaan melantik ketua audit negara secepat mungkin, dengan mengelak daripada membuat lantikan dalam kalangan bekas ketua setiausaha kementerian (KSU).

Pengerusi PAC Mas Ermieyati Samsudin berkata kekosongan jawatan penting negara itu sejak empat bulan lepas, menyebabkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2022 dan LKAN Penyata Agensi Persekutuan Tahun 2021, tidak dapat dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Hanya ketua audit aegara yang boleh mengemukakan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong, yang memperkenankan laporan berkenaan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat selari dengan Perkara 107(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media di lobi Bangunan Parlimen, hari ini.

Mas Ermieyati berkata kerajaan perlu menghentikan amalan melantik ketua audit negara daripada dalam kalangan mantan KSU, sebaliknya melantik individu yang mempunyai latar belakang profesional dalam perakaunan dan pengauditan.

Beliau berkata langkah itu dapat memberi nilai tambah kepada Jabatan Audit Negara, dalam melaksanakan pengauditan secara profesional.

“Lantikan bekas KSU sebagai ketua audit negara perlu dielakkan, walaupun justifikasi pelantikan KSU disebabkan mereka tahu mengenai selok-belok pentadbiran awam,” katanya.

Sementara itu, beliau menyeru kerajaan untuk meneliti semula peruntukan kewangan kepada Jabatan Audit Negara, yang tidak mencukupi.

“Perkara ini merencatkan kerja-kerja yang dijalankan oleh Jabatan Audit Negara, ditambah pula dengan langkah Parlimen untuk membahaskan usul LKAN. Justeru, saya berharap kerajaan akan meneliti perkara ini agar proses pengauditan dapat ditambah baik,” katanya.

Jawatan ketua audit negara tidak diisi sejak Nik Azman Abdul Majid menamatkan perkhidmatan, pada Februari lepas. – Bernama, 8 Jun, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen