Pemuda Umno anjur protes kecam Jocelyn Chia di kedutaan AS esok


Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Salleh berkata bantahan terhadap Jocelyn Chia akan bermula selepas solat Jumaat, pada 2.30 petang esok. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Jun, 2023.

PEMUDA Umno akan membuat bantahan di kedutaan Amerika Syarikat (AS) esok terhadap pelawak komediri Jocelyn Chia kerana memperlekehkan Malaysia dan kehilangan pesawat Malaysian Airlines 730 dalam persembahan komedinya.

Bantahan itu akan bermula selepas solat Jumaat, pada 2.30 petang esok, kata Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh.

Akmal juga mengarahkan exconya membuat laporan polis terhadap Chia.

“Beliau menghina dan memperlekehkan rakyat Malaysia. She said ‘f*** you Malaysia’... ini satu penghinaan yang Pemuda Umno dan semua rakyat Malaysia tidak boleh terima.

“Kami juga menggesa kerajaan melarang beliau daripada memasuki Malaysia, dan atas nama solidariti, saya menggesa semua anggota Pemuda Umno untuk turun ke jalan raya dan berhimpun di depan kedutaan AS pada 2.30 petang esok,” katanya seperti dilaporkan oleh NST hari ini.

Chia menjadi topik hangat di Malaysia selepas menyiarkan klip video berdurasi 89 saat di Instagram semalam, di mana beliau berlawak mengenai Malaysia sebagai sebuah negara membangun yang jauh ketinggalan dan pernah “ditinggalkan” oleh Singapura.

Beliau  juga merujuk kepada penerbangan Malaysia Airlines MH370, yang hilang pada 8 Mac 2014, dengan mengatakan kapal terbang Malaysia “tidak boleh terbang”.

Kenyataan ini mendapat kritikan hebat daripada rakyat Malaysia.

Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon hari ini melahirkan rasa kecewanya terhadap komen yang menyinggung perasaan oleh Chia.

“Kerajaan Singapura tidak membenarkan kata-kata atau tindakan yang menyebabkan kemudaratan atau menyakiti kepada orang lain dan Chia,” katanya.

Beliau menambah Chia bukan lagi warga Singapura dan tidak mencerminkan pandangan Singapura. – 8 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen