Mahkamah Rayuan tetapkan 21 Ogos keputusan saman Azeez terhadap Guan Eng


Abdul Azeez Abdul Rahimmerayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Dis 2020, yang menolak saman fitnahnya terhadap Lim Guan Eng, berhubung pembinaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2023.

MAHKAMAH Rayuan menetapkan 21 Ogos ini untuk menyampaikan keputusannya dalam rayuan bekas ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim berhubung saman fitnahnya terhadap Lim Guan Eng.

Tarikh itu ditetapkan semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Norkamilah Aziz hari ini.

Peguam Craig Ho yang mewakili Azeez serta Felix Lim, peguam bagi Ahli Parlimen Bagan (Guan Eng) mengesahkan tarikh keputusan itu ketika dihubungi.

Pada 19 Mei, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Hakim Azizah Nawawi, Mariana Yahya dan Azimah Omar mendengar rayuan itu dan menangguhkan keputusan mereka.

Azeez merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 11 Dis 2020, yang menolak saman fitnahnya terhadap Guan Eng, yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang, berhubung pembinaan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

Azeez memfailkan saman itu pada Mac 2018, mendakwa Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri pada 28 Feb 2018 dan semasa rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong bawah laut.

Beliau meminta ganti rugi am dan teladan serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Peguam utama mewakili Azeez, Porres Royan berhujah di Mahkamah Rayuan pada 19 Mei lepas yang alasan hakim Mahkamah Tinggi Rosilah Yop semasa menerima pembelaan Lim bagi pengakuan justifikasi adalah jelas salah.

Beliau berkata hakim gagal memahami Lim tidak mengemukakan sebarang bukti tentang kebenaran tuduhan Azeez telah menerima wang daripada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd berhubung projek itu.

Peguam N Mureli, yang mewakili Guan Eng, bagaimanapun menyangkalnya dan berkata kenyataan anak guamnya itu bukan terhadap Azeez tetapi menyasarkan pihak lain dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung tindakan pihak berkuasa untuk mendakwa seseorang dan tidak mendakwa orang lain. – Bernama, 8 Jun, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen