Calon Pakatan Terengganu mungkin guna logo BN, kata Ahmad Said


Mohd Farhan Darwis

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said Ahmad berkata keputusan muktamad bagaimanapun akan diputuskan oleh pemimpin tertinggi Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun 2023.

CALON Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pilihan raya negeri (PRN) di Terengganu berkemungkinan besar akan menggunakan logo Barisan Nasional (BN), kata pemimpin Umno.

Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said Ahmad berkata, keputusan muktamad bagaimanapun akan diputuskan oleh pemimpin tertinggi kedua-dua parti tersebut.

“Pada asasnya mereka hampir bersetuju sebab pantai timur Terengganu, Kelantan, dan Kedah PH tak ramai, di sana cuma Umno dan PAS.

“Secara dasarnya mereka setuju menggunakan lambang BN. Dia sendiri bersetuju, kalau di Terengganu lah, sebab di sana Amanah dan PKR berapa ramai ada? Tak ramai.

“Keputusan muktamad akan dibuat oleh pucuk pimpinan parti tetapi pada dasarnya di Terengganu dia bersetuju menggunakan lambang BN,” kata Ahmad.

Beliau ditemui pemberita selepas perasmian sayap Wanita Umno di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Bekas menteri besar Terengganu itu juga mengalu-alukan jentera komponen kerajaan perpaduan untuk membantu kempen mereka dalam PRN akan datang.

“Umno ada kekuatan sendiri tapi jika ada tambahan kita alu-alukan, contoh di Jabi kalah 55 undi kalau Amanah, PKR ada kita boleh menang, (contohnya) di Ajil hanya kalah empat undi.

“Tiada masalah jika nak bantu kita alu-alukan,” tambah Ahmad. – 8 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen