Umno tidak mampu berpecah lagi, kata ketua Pemuda


Mohd Farhan Darwis

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Salleh berkata rakyat akan menjauhi sekiranya parti Melayu itu terus berpecah dan bertelagah. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 8 Jun 2023.

UMNO perlu memujuk dan merapatkan kembali hubungan antara ahlinya untuk mengembalikan kekuatan parti itu, kata Ketua Pemuda Dr Muhamad Akmal Salleh.

Katanya, Umno kini di kedudukan paling bawah dalam sejarah panjangnya dan rakyat akan menjauhi sekiranya parti Melayu itu terus berpecah dan bertelagah.

“Saya percaya ramai sayangkan Umno, yang jauh dirapatkan, yang merajuk kita pujuk. Umno tak mampu untuk berpecah dan bertelagah, jangan kita sindir-sindir ahli parti di luar.

“Jangan perkecil mereka di luar, mereka ada jasa kepada kita parti ini. Tugas kita ambil kembali duduk dalam Umno bantu Umno rapatkan saf kita.

“Pemuda seru kepada yang berada diluar sana kembalilah bersama Umno bersama kita,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan dasar sulungnya sebagai ketua Pemuda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau itu juga berkata, Umno perlu memulihkan kembali imej dan jenama parti itu dengan kaedah baharu.

“Maka saya menyeru sahabat pemuda untuk kembalikan semula.jenama Umno. Jenama buatkan Umno diminati, disayangi, diingini dan saya pasti sahabat perwakilan kembali kepada Umno dulu.

“Bagaimana nak pulihkan jenama, Umno dulu Umno yang dekat dengan rakyat. Bercakap mengenai rakyat. Sakit sama mengaduh luka sama menyiuk…” katanya.

Beliau menyeru para pemimpin Umno untuk merapatkan lagi hubungan dalam parti.

“Kali ini pemuda akan pelopori cara pendekatan politik baru lebih matang,” tambahnya. – 8 Jun 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen