PEGUAM Nicolas Sarkozy hari ini mengatakan beliau akan merayu sekatan yang dikenakan ke atas bekas presiden itu selepas dia didakwa secara rasmi membiayai kempen pilihan raya 2017 dengan duit daripada bekas diktator Moamer Kadhafi.
Dalam dakwaan awal yang dikenakan ke atas Sarkozy pada Rabu, hakim menghadkan perjalanannya ke beberapa negara termasuk Libya dan menghalang dia bercakap dengan sembilan orang lagi yang terlibat dalam siasatan itu.
“Saya akan merayu sekatan kehakiman ini,” kata peguamnya Thierry Herzog kepada radio RTL, mengatakan beliau percaya sekatan itu dikenakan bertujuan memalukan bekas presiden yang berkhidmat daripada 2007 hingga 2012 itu.
Selepas dua hari ditahan untuk soal siasat berkenaan dakwaan yang pertama kali muncul pada 2011 ketika Perancis mengetuai campur tangan di Libya, Sarkozy didakwa dengan pertuduhan korupsi, pembiayaan kempen haram dan menyembunyikan wang awam Libya.
Antara individu yang dalam senarai dilarang bertemu itu adalah dua rakan rapat dan bekas menteri, Claude Gueant dan Brice Hortefeux.
Pada Khamis petang, Sarkozy muncul di televisyen negara itu menafikan dakwaan dia menerima wang berjuta euro.
“Saya tak pernah khianati Perancis,” katanya mendakwa yang dia menjadi mangsa balas dendam terhadap penyingkiran Kadhafi dan berikrar akan membersihkan namanya. – AFP, 23 Mac, 2018.
Komen